Pengerusi Perikatan Nasional Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercakap pada media program Ceramah Umum Perikatan Nasional sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) di Ampang Pecah Kuala Kubu Bharu, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 4 MEI 2024

KUALA KUBU BAHARU – Kenyataan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis bahawa parti itu sedia untuk menggalas tanggungjawab memimpin negeri itu, tidak mencerminkan pendirian sebenar parti.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pandangan Abu Bakar Hamzah itu boleh dikategorikan sebagai pandangan peribadi Abu Bakar malah ia tidak pernah dibincangkan diperingkat parti.

“Itu adalah pandangan peribadi (Abu Bakar Hamzah) itu tak boleh diambil kira sebab di dalam Perikatan Nasional ini kekuatan kita semua perkara dibincangkan dan dimuafakati atas prinsip kebersamaan di dalam Perikatan Nasional.

“Sebab dalam Perikatan Nasional tak ada amalan ‘Big Brother’, semua parti aalah sama dan dia punya hak untuk berbincang,” katanya kepada media selepas Ceramah Kelompok di Taman Ampang Pechah, katanya malam tadi.

Sebelum ini Bersatu Perlis berkata, parti itu sedia menggalas tanggungjawab memimpin negeri itu, sekiranya wakil parti itu diminta berbuat demikian.

Kenyataan itu dikeluarkan rentetan krisis integriti melanda kepimpinan negeri itu sejak kebelakangan ini.

Abu Bakar berkata, pihaknya sentiasa bersedia dengan apa jua kemungkinan, namun sebarang keputusan kedudukan Menteri Besar Perlis tetap terletak kepada kebijaksanaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan keputusan pimpinan tertinggi PN Pusat.

Mengulas lanjut, Azmin yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) PN Kuala Kubu Baharu berkata, kekuatan PN adalah semua perkara dibincangkan dan dimuafakati atas prinsip kebersamaan.

“Sebab dalam Perikatan Nasional tak ada amalan Big Brother (Abang Besar), semua parti adalah sama dan punya hak untuk berbincang.

“Termasuk sebagai contoh calon di Kuala Kubu Baharu, betul, di sini pernah ditandingi calon PN daripada Gerakan, tetapi berdasarkan sentimen, kajian selidik dan  tinjauan di lapangan, semua parti bersetuju bahawa saudara Khairul Azhari Saut adalah calon terbaik. (Jadi) itu adalah PN, bukan soal pandangan individu,” katanya. – MalaysiaGazette