BATU PAHAT – Mahkamah majistret di sini menetapkan 20 Mei ini untuk memindahkan kes bunuh Mila Sharmilah Samsusah atau dikenali sebagai Bella ke mahkamah tinggi.
Majistret Suhaila Shafi’uddin menetapkan keputusan itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan mereka masih menunggu status tersebut susulan ada perkembangan terbaharu berkaitan kes berkenaan daripada pihak polis.
Pihak pendakwaan dikendalikan Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh, Muhammad Haikal Mahfuz, 24, diwakili peguam Syahril Anuar Harun.
Pihak pendakwaan memberitahu mahkamah pihaknya belum mendapat arahan lanjut dari Pejabat Pendakwaan Negeri Johor (PPNJ) berikutan terdapat perkembangan terbaharu.
Syahril Anuar dalam penghujahan memohon tempoh lebih pendek iaitu sekitar dua minggu kerana sebutan izin pindah kes ke mahkamah tinggi sebelum ini telah dua kali tertangguh pada Mac dan April bagi mendapat arahan lanjut dari PPNJ.
Mahkamah turut meminta pihak pendakwaan untuk melengkapkan permohonan supaya kes dapat dipindahkan segera.
Terdahulu, Mohammad Haikal tiba di mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dengan memakai baju-T putih.
Tertuduh Mohammad Haikal didakwa membunuh Bella,32, antara 11 malam 14 Dis hingga 5.30 pagi, 15 Dis tahun lepas di antara Jalan Kelapa Bali, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar, Kampung Parit Besar, Batu Pahat.
Tertuduh juga didakwa melakukan pembunuhan itu di sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Jalan Besar, Tongkang Pechah di sini. – MalaysiaGazette