Philippe Lazzarini

NEW YORK – Israel didakwa menafikan akses kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Semenanjung Gaza, yang mana telah menyebabkan kebuluran yang teruk berlaku di utara yang menjadi penempatan 2.3. juta orang pelarian.

Walaupun tiada pengisytiharan ramai tentang kebuluran, Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia (WFP) Cindy McCain berkata, kawasan utara itu kini berdepan dengan kebuluran yang ‘ngeri’ dan kini menular ke selatan Gaza.

Ketua Agensi Pelarian Palestin PBB, UNRWA turut menuduh Israel terus menafikan akses bantuan PBB di Gaza.

“Hanya dalam dua minggu lalu, kami telah merekodkan 10 insiden yang melibatkan tembakan ke arah konvoi, penahanan kakitangan PBB, termasuk buli, bogel, ugutan menggunakan senjata dan kelewatan yang lama di pusat pemeriksaan, memaksa konvoi bergerak semasa gelap atau menggugurkan kandungan,” kata Philippe Lazzarini dalam X.

Lazzarini juga menyeru Hamas dan kumpulan bersenjata lain untuk menghentikan sebarang serangan ke atas lintasan kemanusiaan, mengelak daripada mengalihkan bantuan, dan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.

Laporan yang disokong PBB pada Mac berkata, kebuluran akan berlaku dan berkemungkinan menjelang Mei di utara Gaza, dan boleh merebak ke seluruh wilayah menjelang Julai.

Kebuluran dinilai sebagai sekurang-kurangnya 20 peratus daripada penduduk mengalami kekurangan makanan yang melampau, dengan satu daripada tiga kanak-kanak kekurangan zat makanan akut dan dua orang daripada setiap 10,000 mati setiap hari akibat kebuluran atau kekurangan zat makanan dan penyakit.

PBB mengatakan secara amnya, pada masa kebuluran diisytiharkan secara rasmi di suatu tempat, ia sudah terlambat untuk menyelamatkan ramai orang.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres minggu lalu berkata, pelarian yang paling terdedah di utara Gaza “sudah mati kerana kelaparan dan penyakit”. – Agensi