Suhu di Madinah kini dilaporkan mencecah sehingga 42 darjah Celcius.

MADINAH – Keadaan cuaca panas di Madinah dengan suhu yang boleh mencecah hingga 42 darjah Celcius bukan sahaja boleh menimbulkan risiko penyakit berkaitan penafasan serta kulit, tetapi juga boleh menyebabkan tekanan dalam kalangan jemaah.

Pengarah Operasi Madinah (Kesihatan) Dr Mahyin Kudong tidak menafikan keadaan cuaca yang berbeza dengan tanah air itu boleh mencetuskan konflik berpunca daripada haba sehingga menyebabkan emosi tidak stabil.

Bagi menangani isu itu, katanya pasukan perubatan Lembaga Tabung Haji (TH) yang terdiri daripada 279 petugas haji (perubatan) Kementerian Kesihatan Malaysia turut membawa pakar psikiatri bagi membantu jemaah haji yang dijadual mula tiba pada 9 Mei ini.

“Selain pakar psikiatri, TH juga mempunyai kaunselor daripada pasukan kebajikan, serta Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci, jadi kalau ada sebarang isu yang timbul berkaitan dengan masalah mental, kita akan tangani secara bersama,” katanya pada sidang media bersama petugas media di sini.

Oleh itu, beliau menasihati jemaah haji yang akan tiba di Madinah tidak lama lagi supaya sentiasa bersedia termasuk mengamalkan kebersihan diri serta sentiasa minum air yang banyak.

Dr Mahyin juga menggalakkan jemaah haji membawa botol air penyembur yang dibekalkan dan membasahkan muka dari semasa ke semasa jika keadaan cuaca terlalu panas untuk mengelakkan sebarang masalah.

Sementara itu, Ketua Unit Kaunseling Sektor Madinah Syazrina Maria Talib berkata beliau yang dibantu dua kaunselor bertauliah sentiasa bersedia membantu sekiranya timbul masalah berkaitan tekanan dalam kalangan jemaah haji.

“Apabila cuaca panas bukan sahaja jemaah, malah petugas juga boleh mengalami tekanan lebih-lebih lagi apabila bukan semua tempat penginapan jemaah haji berada berhampiran dengan pintu masjid.

“Jadi perjalanan (menuju masjid) memerlukan banyak tenaga. Kebanyakan jemaah kita bukan semuanya yang muda, tetapi ramai juga yang berusia, jadi dengan keadaan usia dan perlu berjalan jauh serta berebut (untuk masuk ke masjid), ia merupakan cabaran kepada mereka,” katanya.

Selain keadaan cuaca panas, pelbagai isu lain turut dikenal pasti menjadi penyumbang kepada masalah tekanan dalam kalangan jemaah termasuk soal hubungan antara suami isteri, keadaan kesihatan, masalah haid dan masalah berjauhan dengan keluarga.

Untuk itu katanya, Unit Kaunseling TH sentiasa bersedia 24 jam termasuk dengan melakukan ziarah dari semasa ke semasa dalam memastikan keadaan kesihatan mental jemaah haji sentiasa dalam keadaan terbaik untuk membolehkan mereka menumpukan kepada ibadat sepanjang berada di Tanah Suci bagi mendapat haji yang mabrur.

“Nasihat saya, apabila kita dah niatkan hati untuk menunaikan ibadah haji ini, ia bukan perkara senang. Ini merupakan peluang seumur hidup kita. Jadi persediaan itu penting.

“Ia termasuk dalam hal kesihatan, ilmu, kefahaman, hati dan kesabaran… ini bekalan penting sebab kita hendak mengharungi 45 hari ini untuk mendapat haji yang mabrur,” katanya. – BERNAMA