Isteri bersama empat cahaya mata allahyarham yang berada di tanah perkuburan kelihatan hiba dan reda selepas menyiram air mawar di pusara.

AMPANG – Jenazah penyanyi dan pelakon, Allahyarham Datuk Hail Amir selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana di sini sekitar pukul 11 pagi tadi.

Terdahulu jenazah allahyarham dimandi dan dikafankan di Masjid Ukay Perdana  sebelum disolatkan dengan dihadiri kira-kira 300 jemaah termasuk ahli keluarga dan rakan artis.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati suasana sepi menyelubungi tanah perkuburan ketika talkin dibacakan seusai jenazah dimasukkan ke dalam liang lahad.

Isteri bersama empat cahaya mata allahyarham yang berada di tanah perkuburan kelihatan hiba dan reda selepas menyiram air mawar di pusara.

Selain itu turut hadir bagi memberikan penghormatan terakhir pada allahyarham adalah ahli keluarga mereka daripada Pulau Pinang serta rakan-rakan artis veteran tanah air.

Antaranya, rakan duet allahyarham, Uji Rashid, Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair, Datuk Dj Dave, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez, pengarah filem, Datuk Yusof Haslam dan ramai lagi.

Terdahulu, Hail atau nama sebenar Abdul Hail Amir meninggal dunia semalam sekitar pukul 3.40 petang di Hospital Kuala Lumpur dan meninggalkan seorang balu serta empat orang anak.

Penghibur yang sinomin dengan lagu Wajah Kesayangan Hamba itu dimasukkan ke hospital kira-kira tiga hari lalu akibat komplikasi paru-paru pada usia 79 tahun. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Penyanyi, pelakon veteran Hail Amir meninggal dunia