Datuk Louis Ng (tengah) menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pusat Penapisan Emas di Zon Perindustrian Fasa 1 Batu Kawan, Pulau Pinang hari ini.

BATU KAWAN – Public Gold Group (PG Group) melabur sebanyak RM30 juta untuk membangunkan sebuah pusat penapisan emas kendiri bertaraf dunia di Zon Perindustrian Fasa 1 Batu Kawan di sini.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif PG Group, Datuk Louis Ng berkata, pusat penapisan emas itu juga merupakan yang pertama dalam negara.

Jelas beliau, pembinaan pusat membabitkan 1.1 ekar tanah dengan anggaran keluasan pembinaan 48,000 kaki persegi itu bermula Mei ini dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

Louis Ng.

“Menerusi pembinaan pusat ini kita jangka mampu menghasilkan pengeluaran 10 tan emas setahun.

“Selain itu, dengan pembinaan ini juga kita dapat menjimatkan pulangan lebih sejuta Ringgit setiap bulan kerana jumlah itu sebelum ini digunakan pusat dapatkan emas daripada negara luar,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pusat Penapisan Emas hari ini.

Tambah Louis Ng berkata, pembinaan pusat penapisan emas ini bukan sahaja akan meningkatkan pendapatan Public Gold pada masa akan datang tetapi menyumbang kepada ekonomi negeri dengan menarik lebih ramai pelabur dari industri logam berharga di seluruh dunia ke Pulau Pinang.

“Malah ia juga mampu mewujudkan peluang perniagaan besar kepada vendor tempatan, serta mengukuhkan Pulau Pinang sebagai hab perindustrian emas global dalam negara.

Pembinaan pusat penapisan emas itu dijangka dalam tempoh 18 bulan.

“Selain sumbangan kepada ekonomi tempatan, kemudahan penapisan baharu ini akan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan ekspatriat yang tinggal di negeri ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Louis Ng berkata, PG Group kini mempunyai 1.3 juta pelanggan di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei.

”Kita menyasarkan 10 juta pelanggan menjelang 2030,” katanya. – MalaysiaGazette