Suasana hiba keluarga mangsa pokok tumbang, Allahyarham Md Rizal Atan selepas disembahyangkan lalu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam. Foto SYADILA AMRI, 08 MEI 2024.

SHAH ALAM – Jenazah Allahyarham Md Rizal Atan, 47, pemandu peribadi yang maut dihempap pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini sekitar 2.30 petang tadi.

Terdahulu jenazah allahyarham dimandi dan dikafankan di Masjid Al-Ehsan, Seksyen 24 selepas dibawa keluar dari Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Tinjaun MalaysiaGazette mendapati suasana hiba  menyelubungi di ruangan masjid sebelum jenazah disolatkan dengan dihadiri lebih 100 jemaah termasuk ahli keluarga dan sahabat handai.

Malah kelihatan ibu dan ayah serta isteri bersama empat cahaya mata allahyarham yang berada di tanah perkuburan kelihatan sebak dan reda dengan pemergian allahyarham.

Majikan mangsa pokok tumbang turut hadir melihat penghormatan terakhir kepada Allahyarham Md Rizal Atan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam. Foto SYADILA AMRI, 08 MEI 2024.

Selain itu, majikan allahyarham juga hadir memberikan penghormatan terakhir dan dilihat amat terkesan atas pemergian kakitangannya itu.

Semalam, seorang lelaki disahkan maut manakala dua lagi mangsa cedera melibatkan lelaki dan wanita warga Sweden dalam insiden pokok tumbang di ibu negara.

Pusat gerakan operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pukul 2.19 petang.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Kuala Lumpur, M Fatta M Amin berkata, insiden turut menyebabkan sebanyak 17 kenderaan dan landasan monorel terjejas. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ribut: Lelaki maut ditimpa pokok di Jalan Sultan Ismail