Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dalam temubual khas bersama MalaysiaGazette di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 07 MEI 2024.

PETALING JAYA – Ppara penyokong Harimau Malaya diminta tidak terlalu ghairah dan sentiasa mengharapkan kenaikan ranking secara konsisten.

Presiden Persatu Bola Sepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, skuad bola sepak negara perlu mendaki secara perlahan-lahan tetapi dalam prestasi membanggakan apabila boleh mengalahkan pasukan besar dan lebih baik seperti Korea Selatan.

Menurutnya, strategi itu selari dengan Peta Hala Tuju F:30 FAM dan harus dikekalkan.

“Selepas kita kalah dalam Piala AFF Suzuki Cup dan beralih kepada khidmat kejurulatihan luar negara iaitu Kim Pan Gon, dalam tempoh dua tahun ini ranking skuad kebangsaan dalam FIFA terus naik dan ini satu pencapaian yang kami mahu ia diteruskan.

“Kita perlu faham dalam pergerakan ranking dunia, jika ada kenaikan sudah pastinya akan ada penurunan tangga seperti keputusan terkini kita menduduki tangga ke-138 dunia.

“Tetapi penyokong kita terlalu ghairah kerana apabila kita menang dengan pasukan India nak kita kalahkan Jordan dan semua pasukan yang kita lawan yang mana bagi saya ia bukan suatu yang realistik.

“Kita sebenarnya perlu faham inilah kuantiti dan kualiti pemain maksimum yang kita ada sekarang,” katanya kepada MalaysiaGazette,

Beliau berkata demikian ketika diminta merumuskan prestasi pencapaian skuad Harimau Malaya di bawah Pan Gon selama dua tahun.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamidin menegaskan, para penyokong tanah air perlu bersifat lebih realistik dan tidak boleh sentiasa mengharapkan kemenangan dan kenaikan dalam ranking FIFA secara konsisten.

Sebaliknya, tambah beliau, proses itu perlu berlaku secara perlahan dan berperingkat-peringkat.

Beliau juga melihat negara jiran Indonesia sebagai contoh terbaik selepas melalui kejatuhan ranking FIFA di bawah kedudukan Malaysia selama empat tahun lalu dan kini sedang menunjukkan peningkatan secara berperingkat-peringkat.

“Oleh itu, kita harus bersabar dan bersifat realistik dengan mengikuti prosesnya secara perlahan.

“Jika hendak dirumuskan pencapaian Harimau Malaya di bawah kendalian Pan Gon, dia membawa satu kejayaan, bayangkan kita kutip 48 mata dan memperbaiki ranking mencapai 130 terbaik dunia, itu bukan senang dan sebab itu kita antara pasukan terpilih FIFA dalam tempoh dua tahun ini dan ini perlu dihargai.

“Jadi, selepas ini kita perlu fikirkan untuk lima tahun akan datang tentang kaedah bagaimana hendak gantikan pemain dan skuad sedia ada dengan pemain akan datang,” ujarnya. – MalaysiaGazette