Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin semasa temubual di Wisma FAM, Kelana Jaya, selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 07 MEI 2024.

PETALING JAYA – Penanaman rumput jenis hybrid di padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) akan dilaksanakan selepas aksi kelayakan Piala Dunia 2026 selesai berlangsung pada Jun ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, proses itu mengambil masa dua bulan untuk disiapkan.

“Ia termasuklah proses pemeliharaan rumput bagi memastikan ia subur dan sehingga akarnya menjadi kukuh dan sempurna untuk digunakan semula,” katanya dalam temubual bersama MalaysiaGazette di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Selasa.

Tambah beliau, Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah mendermakan rumput hibrid itu untuk kegunaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil.

Katanya, hanya 10 hingga 15 peratus rumput hybrid yang bakal ditanam, selebihnya dicampur dengan rumput semula jadi.

Pada April lalu, Tunku Ismail telah menitahkan pendermaan rumput hibrid selepas mengadakan pertemuan bersama Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Windsor John.

“Hasil kaji selidik yang dijalankan di padang SNBJ menunjukkan rumput hibrid lebih memenuhi keperluan stadium pelbagai guna kerana ketahanan dan fleksibilitinya sesuai untuk acara sukan serta bukan sukan.

“Berdasarkan hasil kaji selidik tersebut dan kejayaan penyelidikan yang dijalankan oleh kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) di Larkin, Tunku Ismail akan mendermakan rumput jenis hibrid yang sedang ditanam di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos kepada Stadium Nasional,” menurut hantaran dalam Facebook Rasmi Southern Tigers.

Ini merupakan kali kedua Tunku Ismail yang juga pemilik JDT, membantu Stadium Nasional selepas menghadiahkan rumput Zeon Zoysia yang ditanam awal tahun lepas menggantikan rumput jenis Cow Grass.

Namun, kualiti rumput di gelanggang keramat skuad Harimau Malaya itu, kerap menjadi topik hangat selepas beberapa kali berada pada tahapnya tidak memuaskan setelah penganjuran konsert, terutamanya sebelum aksi final Piala Malaysia 2023 dan beberapa perlawanan melibatkan pasukan kebangsaan.- MalaysiaGazette