Abdul Rashid Asari

HULU SELANGOR – Datuk Abdul Rashid Asari tidak ambil kisah
sekiranya kemunculan beliau di pentas ceramah kempen Pakatan Harapan (PH) menjadi modal Perikatan Nasional (PN) untuk menyerangnya.

Bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor itu berkata, beliau tahu apa yang dilakukan dan tindakannya itu tidak melanggar Perlembagaan parti yang disertainya ketika ini.

Katanya, tidak terkandung di dalam peruntukan Bersatu yang melarang seseorang ahli parti daripada terlibat secara langsung dalam ceramah-ceramah parti lain.

“Tak kisah dia nak ambik ni sebagai kempen untuk PN tak apa, silakan tiada masalah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah berkenaan isu-isu semasa di Batang Kali, di sini, malam ini.

Menurut Abdul Rashid, beliau telahpun membuat semakan terhadap Perlembagaan Bersatu yang mana tiada sebarang peruntukan sekiranya ahli parti membuat ceramah di mana-mana akan menyebabkan mereka boleh mengambil tindakan.

Namun katanya, Bersatu boleh memecatnya jika beliau bertindak keluar dari parti dan menyokong parti lain.

“Tetapi, tidak ada peruntukan yang mengatakan saya tidak boleh berceramah. Penceramah ni ada di mana-mana tempat tak kisahlah, dengan Perpaduan ke, dengan Bersatu ke, tak ada peruntukan tentang ceramah ,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Rashid memberitahu, terdapat seorang lagi pemimpin daripada Bersatu yang akan membantu calon DAP, Sock Tao pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Jelasnya, Individu berkenaan adalah Ahl Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi.

Abdul Rashid merupakan salah seorang pemimpin Bersatu yang mengisytiharkan menyokong kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau membuat keputusan itu selepas meneliti perkembangan semasa dan mengambil kira beberapa faktor termasuk mendakwa beliau dipinggirkan dalam Bersatu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu, Abdul Rashid memperoleh mandat sebagai ADUN Selat Klang bagi penggal kedua.

Beliau pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan dari 2013 hingga 2018. – MalaysiaGazette