Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini diberitahu bahawa Jabatan Kerja Raya (JKR) menerima arahan daripada Kementerian Kewangan (MOF) pada akhir 2020 berhubung projek itu.

Bekas Pengarah Perkhidmatan Ukur Bahan JKR, Zulkipeli Yamat berkata, arahan MOF itu berkaitan dengan cadangan kontraktor untuk projek Jana Wibawa.

Zulkipeli yang bersara pada 8 Disember 2020 berkata, satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan turut dihadiri Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Zulkefly Sulaiman.

“Bermula daripada mesyuarat itu, JKR mula menerima arahan daripada MOF melalui surat cadangan pelantikan kontraktor bagi setiap projek bawah program Jana Wibawa.

“Perolehan kontrak bawah program ini melibatkan dua jenis iaitu melalui rundingan terus dan tender pra kelayakan yang mana adanya satu jawatankuasa dipengerusikan oleh Datin Rosni Mohd Yusoff.

“Bagi projek lantikan pra kelayakan, punca kuasa juga bermula daripada surat cadangan daripada MOF kepada JKR,” katanya ketika membacakan keterangan dalam kes yang membabitkan Ahli parlimen Tasik Geligor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, hari ini.

Wan Saiful didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang bernilai RM232 juta.

Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku antara 8 Julai hingga 30 Sept 2022.

Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu antaranya membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia selain memindahkan wang itu ke beberapa akaun syarikat termasuk milik Sinar Karangkraf Sdn Bhd.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini antara 12 Ogos dan 13 Nov 2022 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Menurut Zulkipeli, dokumen tawaran akan dihantar oleh semua mereka yang mengemukakan tender ke Cawangan Pengurusan dan Perolehan Harta (CPPH) Kementerian Kerja Raya pada tarikh tutup tender.

Zulkipeli kemudian mengesahkan beberapa dokumen yang ditunjukkan kepadanya dalam mahkamah.

Prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob bersambung. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast