BATANG KALI – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin mengkritik DAP sebagai parti penunggang.
Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, DAP mempunyai sejarah kerana pernah ‘menunggang’ Bersatu di Perak sebelum ini.
“DAP pernah menunggang kami (Bersatu) di mana Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pernah cerita bagaimana DAP tunggang Bersatu dan susahnya memerintah di Perak bersama DAP.
“Semua yang berpengalaman dengan DAP tahu bahawa DAP ini penunggang. Penyokong DAP di luar sana sedarlah anda sedang ditunggang,” katanya ketika berceramah di Batang Kali, semalam.
Turut hadir adalah Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ronald Kiandee; Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa serta calon Perikatan Nasional (PN) untguk Pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Khairul Azhari Saut.
Radzi berkata, parti itu kini menunggang parti komponen Barisan Nasional (BN) dan MIC untuk menarik undi kaum India.
Ini kerana katanya, DAP tidak boleh membuat perkara sama terhadap MCA kerana parti itu telah memboikot PRK Kuala Kubu Baharu.
“Mengapa DAP boleh kata kepada MCA tapi dia tidak kata kepada MIC? kerana dia nak tunggang MIC untuk mendapat undi masyarakat India.
“MCA dia tidak boleh tunggang, dia tahu bahawa masyarakat Cina bersama dengan mereka tidak pandang MCA. Maka siapa lagi DAP nak tunggang untuk menang di KKB.
“Kuda yang paling baik nak tunggang adalah MIC. Inilah sejarah DAP,” katanya.
PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan bebas dengan Khairul Azhari mewakili PN.
Kerajaan Perpaduan meletakkan bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao manakala PRM diwakili Hafizah Zainuddin dan Nyau Ke Xin bertanding atas tiket bebas. – MalaysiaGazette