Anggota DBKL mengalihkan pokok besar yang tumbang ke atas sebuah kereta berhampiran Hotel Concorde di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 07 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengenal pasti sebanyak 175 pokok berisiko tinggi yang sebahagian besarnya berusia melebihi 50 tahun.

Sebanyak 147 daripadanya telah ditebang, katanya dalam satu kenyataan.

DBKL juga telah melantik kontraktor untuk menjalankan kerja pemeriksaan pokok berusia lebih 30 tahun atau yang mempunyai ukur lilit melebihi 1.5 meter sejak 2019.

“Pemeriksaan berkala telah dilaksanakan oleh arborist bertauliah dan pemeriksaan terakhir adalah pada Februari 2024 di mana 28 pokok telah dikenal pasti akan ditebang dalam tempoh terdekat.

“Pokok berisiko merujuk kepada pokok yang berpotensi tinggi untuk mengalami kegagalan struktur dan tumbang.

“Ia dikenal pasti melalui penggunaan resistograph dan penilaian visual bagi mengesan kecacatan pada pokok seperti dahan dan akar yang rosak atau reput, struktur pokok condong atau tidak seimbang dan rekahan pada dahan serta pangkal pokok,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Anggota DBKL mengalihkan pokok besar yang tumbang ke atas sebuah kereta berhampiran Hotel Concorde di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 07 MEI 2024.

Pada 7 Mei lalu, seorang lelaki maut manakala dua mangsa termasuk wanita warga Sweden cedera dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail hingga menyebabkan 17 buah kenderaan terjejas.

Dalam pada itu, DBKL menegaskan, pokok yang berusia lebih 50 tahun itu berada di atas tanah persendirian dan penyelenggaraannya di bawah tanggungjawab pemilik tanah.

Berdasarkan Pelan Pembangunan Landskap yang diluluskan pada tahun 2022, pokok terbabit turut dinyatakan untuk dikekalkan.

“Pihak DBKL menggunapakai Pelan Pengurusan Pokok Rendang DBKL yang telah diterbitkan pada Januari 2019 yang merujuk kepada pelbagai agensi.

“Antaranya Jabatan Landskap Negara, Persatuan Arborist Malaysia, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Institute of Landscape Architects Malaysia (ILAM) dan lain-lain..

“Penilaian risiko pokok mempunyai tiga tahap dengan mengambil kira keadaan fizikal pokok di tapak.

“Sekiranya keadaan fizikal pokok tidak memuaskan, penilaian lanjut akan dilakukan dan tindakan mitigasi seperti cantasan, rawatan akar atau penebangan akan diambil seperti terkandung di dalam pelan berkenaan,” ujarnya.

Tambah DBKL, pihaknya sedang menambah baik Pelan Pengurusan Pokok Rendang dan menyediakan garis panduan baharu dengan memfokuskan pokok berusia atau berisiko tinggi yang dijangka siap  Julai ini.

Susulan kejadian itu, DBKL akan membantu untuk memudah cara sebarang tuntutan mangsa terlibat kepada pihak yang sewajarnya.

Mangsa terlibat boleh menghubungi talian 03-2617 9509 (Jabatan Kewangan) atau 03-2617 9236 (Jabatan Undang-Undang dan Pendakwaan. – MalaysiaGazette