Chong Soon Hoe, 25, didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini selepeas mengaku bersalah mengaibkan kehormatan rakan sekerja wanita dengan cara memasang kamera litar tertutup (CCTV) tersembunyi di dalam tandas pejabat Selasa lalu,

MELAKA – Padah mengaibkan kehormatan rakan sekerja wanita dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) tersembunyi di dalam tandas pejabat – seorang akauntan didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Chong Soon Hoe, 25, yang membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu dituduh mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 28 tahun dengan cara memasang CCTV dalam plastik tisu di tandas yang akan menganggu kesantunan mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis pejabat bernombor di Jalan Tun Perak dalam daerah Melaka Tengah di sini kira-kira pukul 4.30 petang 7 Mei lalu.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, mangsa seorang ejen cukai dan bekerja di syarikat terbabit melihat CCTV itu tersembunyi di dalam plastik tisu ketika berada di dalam tandas pada tarikh berkenaan.

Apabila memeriksanya menggunakan komputer riba, mangsa mendapati CCTV itu dipasang oleh tertuduh dan terdapat rakaman video dirinya di dalam tandas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian manakala tertuduh diwakili peguam Kent Tan Chow Teng.

Terdahulu, peguam memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk melepaskan tertuduh dengan Bon Berkelakuan Baik berdasarkan peruntukan Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah dan tidak dipenjarakan.

Hujahnya, ini kerana tertuduh seorang pemegang ijazah kelas pertama dalam bidang perakaunan, masih muda, tiada rekod kesalahan lampau selain perlu menjaga ibu bapa yang menghidap penyakit darah tinggi serta kencing manis.

Tertuduh yang juga adalah anak lelaki tunggal keluarga dan sudah insaf atas kesalahannya selain ingin menyambung pengajian di Singapura.

Farah Nabihah bagaimanapun membantah dan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal mengambil kira fakta kes yang diperakui tertuduh.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM4,500 atau enam bulan penjara jika gagal bayar. – MalaysiaGazette