M. Kumar

ISKANDAR PUTERI  – Polis Johor berjaya menumpaskan sindiket penipuan dan perjudian atas talian setelah menggempur sebuah unit kediaman yang dijadikan pusat panggilan baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Johor, Komisioner M.Kumar, serbuan yang dijalankan 5.30 petang pada Mei lalu itu telah menahan seramai enam orang warga asing terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki.

“Serbuan itu dijalankan dengan kerjasama pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman setelah menerima maklumat mengenai kejadian itu.

“Semasa operasi dijalankan, kesemua tangkapan sedang leka melayan pelanggan masing-masing secara atas talian.

“Turut dirampas adalah komputer riba, telefon bimbit dan beberapa peralatan lain yang disyaki digunakan dalam sindiket penipuan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pusat panggilan atau calling centre itu dipercayai telah beroperasi selama beberapa bulan dan menyasarkan golongan warga asing sebagai mangsa mereka.

“Kami menasihati orang ramai untuk tidak mudah terpedaya dan sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan atas talian ini terutamanya mereka yang menjanjikan keuntungan lumayan secara mudah, segera dan tidak masuk akal,” tambahnya.

Kes akan disiasat dibawah di bawah Seksyen 420 KK dan boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun, sebatan dan denda sekiranya disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette