Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan. Foto FAREEZ FADZIL, 30 MAC 2024.

SHAH ALAM – Polis Selangor akan meletakkan kekuatan seramai 1,133 pegawai dan anggota pada hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) Sabtu ini demi menjamin ketenteraman dan keamanan sepanjang proses demoktrasi itu berlangsung.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, orang ramai, penyokong parti bertanding dan calon diingatkan agar mematuhi serta menghormati semasa proses berlangsung esok.

Semua pihak khususnya parti-parti politik yang bertanding diingatkan untuk tidak menyentuh isu berkenaan 3R (agama, kaum dan institusi raja) yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

“Polis Selangor memberi jaminan bahawa keselamatan orang awam untuk keluar mengundi terjamin dan semua pihak diharap elak daripada memainkan isu 3R dan kita akan memantau khemah yang didirikan pihak parti politik bertanding pada hari mengundi elak sebarang unsur yang dilarang peraturan pilihan raya (kempen atau pancing undi).

“Orang ramai juga boleh keluar mengundi tanpa rasa gusar serta dinasihati untuk tidak meletak kenderan di bahu jalan bagi mengelak kesesakan jalan raya sepanjang proses pengundian berlangsung selain sila patuhi arahan polis serta diharap proses pengundian berjalan lancar tanpa insiden tidak diingini,” katanya dalam sidang media  hari ini.

Tambah Hussein, sejak kempen PRK KKB bermula 27 April lalu, polis telah menerima aduan paling minima kali ini iaitu 10 laporan berkait kempen kali ini.

“Daripada jumlah itu kita membuka lima kertas siasatan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Hasil jumlah kertas siasatan itu, dua tangkapan dibuat di mana seorang telah pun dituduh di mahkamah baru-baru ini,” ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK di Kuala Kubu Baharu rentetan kematian bekas wakil rakyat, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

PRK berkenaan menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon kerajaan Perpaduan Madani Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin Bebas).- MalaysiaGazette