SEPANG – “Terima kasih emak dan ayah daftarkan haji untuk sejak kami dipangku sekolah lagi.”
Itu perkongsian anak keempat daripada lima beradik yang berasal dari Taiping, Perak yang berpeluang menunaikan haji pada usia muda.
Menurut Nurzawani Bahari, 24, sepatutnya nama mereka telah dipanggil pada tahun 2023 lagi namun pada tahun ini mereka berpeluang untuk menunaikan haji secara bersama-sama.
Antara adik-beradiknya yang terpilih menjadi tetamu Allah adalah Muhammad Syahmi, Jaliahi, Nur Adiba dan Muhammad Akmal dan termasuk dua ipar mereka ke Tanah Suci.
Mereka adalah antara 353 bakal jemaah haji yang berlepas ke tanah suci pukul 6.30 pagi tadi dengan menaiki penerbangan Saudi Arabia KT4 dan dijangka akan tiba di Madinah pada pukul 10.45 pagi waktu tempatan.
“Emak dan ayah pernah pergi haji pada 2008 dan tahun 2009, Tabung Haji (TH) kata jemaah haji boleh tunaikan rukun Islam kelima itu hanya sekali seumur hidup sahaja membuatkan emak ayah kami terus daftarkan haji lima anak-anak dia sekaligus.
“Ketika itu saya baru darjah tiga memang kita tidak tahu pasal ini, bila masuk Tingkatan Empat baru saya tahu dan sangat terharu serta terima kasih pada emak dan ayah sebab daftarkan lebih awal.
“Daripada segi persiapan, sudah dilakukan lebih awal dengan kursus haji sebaik sahaja panggilan diterima daripada TH menerusi SMS dan hari ini akhirnya kami semua terbang bersama pada usia muda menunaikan haji,” katanya dalam nada sebak.
Tambah Nurzawani, rasa takut dan bimbang itu sudah pasti kerana kedua-dua ibu bapa mereka tidak bersama untuk menunaikan ibadah itu namun kehadiran adik-beradik menjadi kekuatan di Tanah Suci.
Sementara itu, adik bongsu mereka, Muhammad Akmal, 21, turut rasa teruja dan terharu kerana tidak menyangka menerima panggilan ke Tanah Suci pada usia muda.
“Perasaan saya rasa terkejut, alhamdulilah bersyukur sebab dapat jadi tetamu Allah di usia muda dan tidak sangka juga semua orang meraikan saya, buka WhatsApp satu keluarga cakap ‘dapat juga, dapat juga’ memang teruja sangat.
“Peluang ini juga atas jasa emak dan ayah saya sebab mereka daftarkan nama saya seawal enam tahun llu bersama abang serta kakak. Saya juga pernah bermimpi masa kecil akan menunaikan haji dan kini menjadi realiti.
“Perasaan pergi dengan adik-beradik pun bagai satu percutian sebab bukan senang kami dapat berkumpul dan bersama ke tempat ini.
“Saya harap peluang ini dapat membersihkan hati saya dan insya-Allah menjadi orang yang berguna,” luahnya dengan penuh teruja.
Terdahulu, seramai 353 jemaah haji KT4 selamat berlepas ke Madinah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar pukul 6.30 pagi tadi.
Pada musim haji 1445 Hijrah /2024, seramai 31,600 orang bakal jemaah haji dari Malaysia akan menunaikan ibadah rukun Islam yang kelima pada musim ini dengan wukuf di Arafah pada 9 Zulhijah atau bersamaan 15 Jun depan. – MalaysiaGazette