Hussein bersama Ketua Polis Daerah KLIA Azman Sha'riat (empat dari kanan) ditemani para pegawai kanan menunjukkan baldi bongkah lilin yang digunakan untuk sembunyikan syabu untuk diedar ke sarawak menerusi Terminal 1 KLIA ditumpaskan polis dalam serbuan pada 1 dan 4 Mei lalu.

SHAH ALAM – Walaupun pelbagai taktik licik digunakan sindiket dadah untuk mengaburi pihak berkuasa untuk menyeludup dadah ke Sarawak namun kali ini mereka berputih mata.

Terbaharu, taktik sindiket menyembunyikan syabu seberat 24 kilogram dalam baldi mengandungi bongkah lilin yang dipercayai untuk tujuan sembahyang untuk diseludup ke Sarawak menerusi pintu masuk udara berjaya digagalkan polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia membawa kepada pembongkaran taktik sindiket itu yang mengupah orang awam untuk membawa bahan terlarang itu menerusi Terminal Udara di Sepang ke Sarawak.

Pada serbuan 1 Mei lalu, jam lebih kurang 6.45 pagi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah KLIA bersama polis bantuan Bangunan Terminal Utama KLIA1 berjaya menangkap seorang suspek lelaki tempatan.

“Hasil imbasan di mesin pegimbas ke atas bagasi suspek berjaya mengesan dan merampas dadah jenis syabu seberat enam kilogram yang disembunyikan dalam baldi mengandungi bongkahan lilin sembahyang.

“Susulan tangkapan pertama itu, polis berpandukan maklumat lelaki itu telah membuat serbuan di sebuah bilik hotel di kawasan KLIA sebelum berjaya menahanan tiga lagi lelaki tempatan serta merampas syabu seberat 18 kilogram disembunyikan dalam bekas tin bongkahan lilin,” katanya dalam sidang media hari ini.

Hussein bersama Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Jaafar (tiga dari kiri) ditemani para pegawai kanan menunjukkan dadah mampat ganja yang dirampas dari seorang lelaki tempatan di kondominium di Damansara Petaling Jaya dalam serbuan pada 4 Mei lalu.

Menurut Hussein, tangkapan empat suspek kes pertama itu berjaya membawa polis merampas dadah seberat 24 kilogram (kg) berjumlah RM768,000 untuk pasaran negeri Sarawak.

Pada perkembangan berkaitan, siasatan polis mendapati keempat-empat suspek berusia antara 25 hingga 55 tahun manakala dua daripadanya merupakan tukang cat dan petani.

Dua lagi suspek adalah penganggur selain dua daripada empat suspek itu adalah berstatus bujang, seorang berkahwin dan seorang lagi duda.

Semakan lanjut juga mendapati kesemua suspek mempunyai lima rekod jenayah dan lapan kesalahan dadah lampau sementara ujian air kencing turut mengesahkan kesemua suspek positif dadah jenis methaphetamine dan amphetamine.

“Siasatan lanjut mendapati sindiket mengupah keempat-empat suspek itu sebagai keldai dadah yang mempunyai rekod lampau kesalahan dadah dan dibayar RM1,000 sekiranya mereka berjaya membawa masuk dadah menerusi pintu udara ke Sarawak bagi pasaran di sana.

“Semasa tangkapan suspek pertama sedang menunggu masuk pesawat manakala tiga suspek yang ditahan di bilik hotel bersama bekalan sedang menunggu masa penerbangan seterusnya.

“Kesemua suspek keldai dadah itu dihubungi dan diberi arahan membawa bekalan oleh sindiket dadah menerusi aplikasi media sosial dengan menawarkan upah yang mana kesemua suspek yang berasal dari Sarawak itu dibelikan tiket dan diterbangkan ke Lembah Klang untuk menerima bekalan dan membawa pulang ke Sarawak seperti diarahkan sindiket,” ujarnya.

Seorang wanita tempatan dan lelaki dari Sarawak yang dikehendaki polis dalam membantu siasatan kes tangkapan penyeludupan dadah dalam lilin ke pasaran Sarawak yang ditumpaskan di Terminal 1 KLIA pada 1 Mei lalu.

Pada serbuan kedua pada 4 Mei lalu, pasukan Narkotik dari Balai Polis Damansara Daerah Petaling Jaya telah berjaya membuat serbuan di sebuah kondominium di Damansara dan menahan seorang lelaki tempatan sebelum merampas enam ketulan mampat disyaki ganja seberat 6.1 kilogram.

Berpandukan maklumat dan arah oleh suspek itu, pasukan kemudian melakukan serbuan di satu lagi kondominium di Kawasan sama sebelum membuat rampasan ganja seberat dua kilogram.

Dua individu dikehendaki polis iaitu Kee Wei Wei, 30, beralamat di LOt 33, Lucky Garden, Jalan PUchong, Batu 6, KL dan Lelaki Sarawak bernama Chiew Ching Sing, 44 beralamat LOrong Belian, Sibu Sarawak bagi membantu siasatan lanjut kes rampasan dadah cuba diseludup ke Sarawak ditumpaskan pada 1 Mei lalu di KLIA.

“Suspek kes kedua ini berstatus bujang dan bekerja sebagai pembantu restoran selain saringan awal ujian air kencing mengesahkan suspek positif THC dan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.

“Nilai dadah bagi kes dua ini adalah berjumlah RM25,300 dan disyaki untuk pengedaran ke pasaran Lembah Klang,” katanya lagi.

Sepanjang tempoh Januari hingga sekarang, polis Selangor berjaya menumpaskan enam sindiket dadah ke pasaran Sarawak membabitkan tangkapan 12 orang suspek, rampasan syabu seberat 75,532 kg, pil erimin 5 seberat 14,950 kg dan ketamin seberat 169.65 gram bernilai RM3.9 juta.

“Dalam kedua-dua kes berkenaan kesemua lima suspek berkenaan direman selama seminggu untuk disiasat di Bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.

“Berikutan modus operandi mengupah keldai dadah untuk pengedaran seperti ini oleh sindiket, orang ramai diingatkan agar tidak terpedaya dengan mana-mana tawaran kerja dalam talian atau aplikasi mencurigakan yang memberi upah tidak munasabah
sehingga terjerat sebagai keldai dadah kerana jika ditangkap boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan 15 sebatan,” katanya.

Dalam masa sama polis sedang mencari dua individu saksi dikendaki dalam kes tangkapan dan rampasan dadah ke Sarawak ini iaitu wanita tempatan bernama Kee Wei Wei berusia 30 tahun beralamat di Lucky Garden Jalan Puchong, Batu 6, Kuala Lumpur dan lelaki bernama Chiew Ching Sing, 44,  berasal dari Lorong Belian, Sibu Sarawak bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette