KUALA LUMPUR – Kemenangan calon kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baru (KKB) menandakan rakyat muak dengan politik tohmahan dan fitnah yang cuba dibawa pembangkang.

Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub berkata, rakyat kini lebih suka politik bersih yang rata-rata dibawa oleh pimpinan kerajaan Perpaduan pada hari ini.

“Keputusan PRK KKB yang memang memihak kepada PH sudah diduga dari awal lagi. Walaupun adanya dakyah dibuat oleh pimpinan pembangkang dan bekas UMNO namun pengundi tetap memilih PH.

“Keputusan semalam membuktikan rakyat KKB dan Selangor menolak fitnah, benci membenci seperti yang dibawa oleh pembangkang (Perikatan Nasional).

“Rakyat telah memilih cara berpolitik ‘kasih sayang dan beradab’ seperti yang dibawa oleh UMNO. Rakyat telah bosan dengan pembohongan dan penipuan serta kemunafikan pemimpin pembangkang khususnya PAS yang menjadikan Islam sebagai kuda tunggangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kata Mustapha, hakikatnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menunggang Melayu dalam usaha untuk meraih sokongan rakyat kepada mereka.

“Veteran UMNO menyeru kepada pemimpin PN supaya hentilah perbuatan menjual nama Islam dan perpaduan Melayu. Cukuplah dengan perpecahan Melayu sekarang kerana perbuatan kamu.

“Tidak ada maknanya mereka melakukan ibadah umrah setiap tahun dibulan Ramadhan kalau selepas itu berperangai seperti Abu Lahab. Tidak ada makna mereka mengajar ugama disetiap hari Jumaat kalau bertindak seperti Abdullah Bin Ubai,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast