Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa

KUALA LUMPUR – Kereta yang dinaiki Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh nyaris dihempap pokok tumbang di hadapan Kuwait Bank di Jalan Pinang, di sini, berikutan hujan lebat melanda ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya akan memaklumkan sekiranya terdapat perkembangan.

“Ya kita sahkan, terdapat kejadian (pokok tumbang hampir terkena kereta Ketua Menteri Melaka), apapun sebarang perkembangan kita akan maklum,” katanya Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa ketika dihubungi.

Ab. Rauf dikatakan sedang melalui kawasan tersebut untuk menghadiri satu urusan rasmi di Kuala Lumpur.

Kejadian pokok tumbang yang menghempap beberapa kenderaan di Jalan Pinang tular di laman media sosial hari ini berikutan hujan lebat pada petang ini.

Jalan itu dipercayai ditutup untuk kerja-kerja pengalihan dan pembersihan pokok tumbang.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur berkata, tiada panggilan kecemasan diterima berhubung kejadian pokok tumbang itu.

“Bagaimanapun, jentera tetap dihantar ke lokasi untuk bantuan,” katanya menerusi kenyataan. – MalaysiaGazette