Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad membuat gimik perasmian Sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan 2024 di Hotel Zenith, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 13 MEI 2024.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mempertimbangkan untuk melaksanakan pemberian vaksin influenza terhadap warga emas.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya bercadang untuk memasukkan agenda itu di bawah Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP).

“Mungkin dalam bajet tahun 2025 atau seterusnya kita akan mohon,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Minggu Imunasasi Peringkat Kebangsaan, di sini, hari ini.

Menurut Dzulkefly, pengambilan dos vaksin influenza akan memberi manfaat kepada golongan rentan dan beliau akan berusaha untuk mendapatkan peruntukan bagi melaksanakan inisiatif itu.

Tambah beliau, warga emas hanya perlu mengambil satu dos vaksin influenza setiap tahun.

“Dos ini perlu diambil setiap tahun kerana virus influenza ini bermutasi,” ujarnya. – MalaysiaGazette