Petugas unit vektor Jabatan Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan kerja-kerja penyemburan asap di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Menara City One untuk mencegah pembiakan nyamuk Aedes ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Kes demam denggi berkurang kepada 1,995 kes pada Minggu Epidemiologi ke-18 (ME18) iaitu bagi tempoh 28 April hingga 4 Mei lepas berbanding 2,237 kes pada minggu sebelumnya.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan, kumulatif kes yang dilaporkan pada ME18 adalah sebanyak 54,882 berbanding 38,933 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

“Selain itu, sebanyak 39 kematian telah dilaporkan akibat komplikasi demam denggi berbanding 24 kematian untuk tempoh yang sama tahun lepas.

“Bilangan lokaliti hotspot pula adalah sebanyak 70 lokaliti berbanding 63 lokaliti minggu sebelumnya.

“Berdasarkan laporan, 55 lokaliti terletak di Selangor, enam di WPKL & Putrajaya, tiga di Perak, dua di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan manakala Kedah dan Sarawak mempunyai satu lokaliti masing-masing,” katanya.

Radzi berkata, bagi survelan chikungunya, tiada kes direkodkan pada ME18 dan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah sebanyak 23 kes.

Bagi survelan zika pula, sebanyak 900 sampel darah dan enam sampel urin telah diambil untuk menjalankan saringan dan hasil mendapati kesemuanya adalah negatif.

“Penghapusan tempat pembiakan secara kendiri boleh dijalankan melalui aktiviti gotong-royong oleh komuniti agensi kerajaan, swasta dan NGO.

“Usaha ini perlu diteruskan dalam usaha pencegahan denggi meskipun kes semasa denggi tampak seperti menurun,” katanya. – MalaysiaGazette