KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Petronas (UTP) mencatat kedudukan lebih baik dalam ranking Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2024, dengan melonjak 47 anak kepada kedudukan 32 daripada 79 sebelum ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, UTP memaklumkan pencapaian signifikan itu telah mengukuhkan kedudukan universiti itu sebagai institusi pengajian tinggi terkemuka di persada global dan mengekalkan kedudukannya sebagai universiti nombor satu Malaysia untuk empat tahun berturut-turut sejak 2021.

“Ditubuhkan pada 1997, UTP adalah universiti baru yang telah mencapai kemajuan yang luar biasa dalam THE Young University Rankings.

“Penarafan ini mengiktiraf universiti terkemuka dunia di bawah 50 tahun dan UTP, pada usia baru mencecah 27 tahun secara konsisten menunjukkan kemajuan luar biasa, mengukuhkan kedudukannya dALAM kalangan bintang dunia yang semakin meningkat dalam pendidikan tinggi,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sejak tujuh tahun lepas, kedudukan UTP meningkat secara konsisten, berubah daripada 151-200 (2017-2018) kepada band 101-150 (2019-2020), diikuti dengan kedudukan ke-134 pada 2021, dan kedudukan ke-119 pada 2022 , dan lonjakan ketara ke tangga ke-79 pada 2023.

“Pencapaian pada kedudukan ke-32 tahun ini, menandakan tahun paling berjaya universiti dalam ranking setakat ini,” menurut kenyataan itu, dan menambah bahawa peningkatan yang membanggakan UTP dalam kedudukan menyerlahkan komitmennya untuk menyediakan pendidikan bertaraf dunia, memupuk penyelidikan yang menerokai sempadan baru  dan melahirkan mahasiswa yang bersedia untuk masa depan.

Sementara itu, Naib Canselor UTP Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata pencapaian ini merupakan satu kebanggaan yang amat besar buat seluruh komuniti UTP dan bukti dedikasi dan komitmen yang tidak berbelah bagi fakulti, kakitangan, pelajar dan alumni universiti.

“Kami merakamkan ucapan terima kasih kepada PETRONAS, rakan industri, dan rakan usaha sama akademik yang telah menyumbang kepada pencapaian UTP.

“Kami amat berbangga kerana ia menunjukkan komitmen kami dalam menyediakan pendidikan bertaraf dunia yang bukan sahaja teliti dari segi akademik tetapi juga memupuk inovasi, keusahawanan teknologi dan tanggungjawab sosial,” tambahnya.

UTP secara aktif menyokong visi Petronas untuk masa depan yang mampan dengan menyepadukan prinsip kemampanan ke dalam kurikulum, aktiviti penyelidikan dan pengalaman pelajarnya, yang seterusnya menyumbang kepada mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih (NZCE) menjelang 2050.

Universiti ini berada pada kedudukan yang baik untuk memainkan peranan utama dalam usaha ini, dengan tumpuan yang kuat terhadap disiplin sains, kejuruteraan dan teknologi yang penting untuk pembangunan penyelesaian yang mampan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast