Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Foto MOHD ADZLAN, 25 MAC 2024.

PUTRAJAYA – Tahap keselamatan di lokasi yang berisiko akan ditingkatkan berikutan kejadian serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang terkejut dengan insiden itu berkata, aspek keselamatan akan terus dipertingkatkan pada tahap maksimum.

“Insya-Allah saya akan keluarkan kenyataan selepas mendapat segala maklumat lengkap berhubung insiden ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.

Sementara itu, Saifuddin mengucapkan takziah kepada keluarga dua anggota polis, Konstabel Ahmad Azza Fahmi dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad, yang terkorban dalam serangan itu.
“Saya juga mendoakan semoga afiyah dan kesembuhan segera buat Koperal Mohd Hasif Roslan yang mengalami kecederaan akibat ditembak,” ujarnya. – MalaysiaGazette