Zus Coffee

KUALA LUMPUR – Jenama rangkaian minuman kopi tempatan Zus Coffee sekali lagi mengeluarkan permohonan maaf berikutan kerjasama dengan jenama Adidas yang termasuk dalam senarai boikot berikutan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Dalam permohonan maaf terbaharu hari ini Zus Coffee menambahkan perkataan ‘menentang genosid’ dan ‘sokong Palestin’ selepas netizen menolak kenyataan maaf pertama yang terlalu umum semalam.

“Kepada pelanggan kami yang dihargai dan komuniti yang lebih luas, kami mengakui bahawa kenyataan kami sebelum ini tidak cukup jelas dalam menyatakan pendirian kami terhadap tindakan genosid di Palestin.

“Zus Coffee berdiri teguh menentang genosid, menyokong perjuangan untuk kebebasan Palestin. Selaras dengan nilai-nilai yang dikongsi bersama, kami menegaskan kembali komitmen kami terhadap prinsip-prinsip ini,” katanya.

Rangkaian perniagaan itu juga berjanji untuk lebih berwaspada dalam membuat keputusan di masa hadapan dan memastikan ia sentiasa mencerminkan nilai- nilai kami sebagai jenama tempatan Malaysia.

“Terima kasih atas kesabaran dan sokongan anda dalam perjalanan kami untuk terus berkembang dan belajar bersama anda,” katanya.

Zus Coffee semalam juga telahmemohon maaf secara terbuka selepas menerima kritikan daripada pengguna media sosial berhubung berkolaborasi dengan jenama Adidas.

Syarikat itu memberitahu, penyertaannya pada satu acara dan pemberian kasut Adidas yang diiklankan di akaun Instagramnya adalah aktiviti yang dilakukan hanya sekali sahaja dan tidak akan berlaku lagi.

Permohonan maaf itu tidak mendapat reaksi positif selepas rata-rata warga maya menyifatkan jenama kopi tersebut tidak ikhlas kerana hanya meminta maaf atas kesilapan tetapi langsung tidak menyelitkan mengenai keganasan Israel terhadap Palestin.

Nahh, let’s boycott them. There are many more local coffee brand. Not even a word of Palestine in the statement. You gonna be like Starbucks very soon. ” ujar @abdfauzi di ruangan komen Zus tersebut.

Jenama tersebut telah meraih perhatian warganet apabila dilihat berkerjasama dalam melakukan aktiviti giveaway bersama Adidas.

Tangkapan layar di Instagram oleh rangkaian kopi tersebut dilihat sedang mengumumkan pemberian kasut Adidas kepada mereka yang bertuah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast