KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menegur pemimpin kerajaan yang membuat rakaman berkaitan mutu penyampaian perkhidmatan awam.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, tindakan untuk merakam dan memuat naik sesuatu perkara atau permasalahan yang timbul bukan tindakan yang tepat dan sesuai.
Lebih-lebih lagi jika ia dilakukan oleh pemimpin kerajaan yang turut mempunyai jawatan bagi menyelesaikan masalah secara bersama.
“Jika terdapat kelemahan dalam mutu perkhidmatan, tegur dan nasihatlah secara berhadapan. Ia suatu perkara yang wajar dan boleh diterima.
“Tidak perlu sesuatu teguran itu disusuli dengan rakaman yang kemudiannya dimuat naik ke dalam sosial media hanya semata-mata untuk memberi makluman bahawa kita sudah membuat kerja dengan baik.
“Bertindaklah sebagai suatu pasukan yang sentiasa melengkapi dan memerlukan kerana pemimpin dan penjawat awam sentiasa memerlukan satu sama lain” katanya.
Jika ada kelemahan, tegur melalui saluran yang betul dalam mencari solusi persefahaman yang terbaik.
Tegas Adnan, tidak semua perkara perlu dijadikan bahan kandungan sosial media yang akhirnya akan memburukkan lagi keadaan.
“CUEPACS sangat berharap semua pihak tidak menjadikan sedikit kelemahan sebagai peluang untuk meraih populariti tetapi bersama-sama untuk menyelesaikan sesuatu perkara yang timbul.
“CUEPACS beri jaminan l Penjawat Awam akan terus kekal memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan.
Adnan bagaimanapun tidak menyebut nama pemimpin kerajaan terbabit atau bahan yang dimuatnaik di media sosial.
Bagaimanapun media baru-baru ini melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh menyelesaikan masalah ketiadaan kerusi dan meja untuk kegunaan 34 murid di Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Ayer Merbau dalam tempoh 24 jam.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka itu berkongsi video di media sosial membantu sekumpulan murid kelas itu menyusun 36 set meja dan kerusi berwarna biru untuk pembelajaran.
Sebelum ini, seramai 34 murid berkenaan terpaksa duduk bersila di atas lantai dan menggunakan rehal yang biasa digunakan untuk membaca al-Quran sebagai meja.
Dalam catatan di Facebooknya, Dr Muhamad Akmal menyatakan masalah ketiadaan kelengkapan asas bilik darjah sepatutnya diselesaikan segera tanpa berdepan kerenah birokrasi. – MalaysiaGazette