KUALA LUMPUR – Seorang anggota Malaysian Battalion 850-11 (Malbatt 850-11) bagi Misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan, Sarjan Faridah Abd Rahman telah disahkan meninggal dunia.
Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK) itu menghembus nafas terakhirnya pada 18 Mei 2024 (Sabtu) jam 2.25 pagi waktu Lubnan atau jam 7.25 pagi waktu Malaysia.
Allahyarhamah, 39, bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam MALBATT850-11 di Kem Marakah, Lubnan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Malbatt 850-11 apabila rebah setelah turun dari bas di Kem Marakah.
Allahyarhamah pada ketika itu baru pulang ke Lubnan setelah selesai bercuti di Malaysia.
Markas Angkatan Tentera Malaysia berkata, jenazah Allahyarhamah akan dihantar ke Hospital Hammoud, Saida untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Proses bedah siasat tersebut akan dilaksanakan pada 19 Mei 2024 (Ahad) jam 10.30 pagi waktu Lubnan atau jam 3.30 petang waktu Malaysia.
Allahyarhamah berasal dari Pendang, Kedah, mula menyertai perkhidmatan ATM dengan menyertai Tentera Darat sejak 2007 dan ditugaskan di dalam Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).
Sebelum ini, Allahyarhamah bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam di Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Di Raja (MEKANIZE), Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah sebelum di atur gerak menyertai Misi MALBATT 850-11 UNIFIL.
Allahyarhamah telah mendirikan rumah tangga serta mempunyai empat orang anak iaitu tiga orang anak perempuan dan seorang anak lelaki berusia antara empat hingga 10 tahun.
Markas Angkatan Bersama (MK AB) yang berperanan menyelaraskan semua keperluan operasi dan misi ATM di luar negara termasuk atur gerak MALBATT 850-11 bagi Misi UNIFIL akan menguruskan proses penghantaran pulang jenazah Allahyarhamah ke Malaysia. – MalaysiaGazette