Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Majlis Pelancaran Garis Panduan Penapisan Filem Baharu di Hotel Marriot, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 20 MEI 2024

PUTRAJAYA – “Ini Malaysia, Naz. Perdana Menteri pun boleh masuk penjara,”.

Demikian dialog sebuah filem yang diulang kembali Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi menggambarkan keterbukaan industri perfileman di negara ini.

Menurut beliau, karya Syafiq Yusof berjudul Sheriff: Narko Integriti itu menjadi filem terbaharu ditontonnya dan beliau mengambil banyak pengajaran atas mesej yang ingin disampaikan kerana ia sarat dengan kritikan isu pentadbiran.

“Dialog macam itu pun Lembaga Penapis Filem (LPF) boleh lulus, bayangkan keterbukaan kita. Tidak salah kerana filem itu sendiri membicarakan soal ketirisan tadbir urus yang baik, itu aspek tatakelola.

“Polis yang digambarkan pelbagai watak, ada berkompromi dengan kartel dan sindiket. Pegawai polis korup makan rasuah, bersantai kaki atas meja. Silakan, itu teguran yang pengarah mahu sampaikan menerusi filem,” katanya ketika berucap bagi merasmikan majlis berkenaan di sini hari ini.

Jelasnya, beliau menjadikan filem Sheriff sebagai contoh kerana berpendapat ia menjadi titik permulaan bagi penggiat seni menampilkan lebih banyak kritikan sosial menerusi naskhah filem.

“Saya fikir Sheriff mungkin boleh jadi filem pertama kali mengkritik dan beri teguran terhadap polis sampai tahap sebegitu sekali. Saya rasa belum ada lagi filem yang lain sebab itu ramai orang tunggu sehingga cecah kutipan lebih RM60 juta kerana penonton mahu kelainan,” ujarnya.

Terdahulu, Saifuddin merasmikan Garis Panduan Penapisan Filem baharu yang diperkenalkan hari ini bagi memastikan penggiat seni menghasilkan karya bermutu dengan nilai estetika tanpa menyentuh isu sensitif yang melampau.

Ia bagi menggantikan garis panduan lama pada 2010 dengan menumpukan kepada tiga teras utama iaitu keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan serta moral dan sosiobudaya.

Dalam masa sama, Saifuddin memberitahu, kandungan filem juga perlu mengelak daripada menyemarakkan isu perkauman, ketegangan politik dan salah faham terhadap agama.

Beliau juga menekankan agar kandungan filem sama sekali tidak menyentuh gaya hidup liar, songsang dan bertentangan dengan budaya yang boleh merosakkan nilai kesopanan masyarakat di negara ini. – MalaysiaGazette