KUALA LUMPUR – “Saya menafikan wujudnya keganasan rumah tangga sepanjang perkahwinan kami,” tegas pelakon era-90, Edika Yusof selepas menceraikan talak satu terhadap isterinya, Nor Hidayah Yusri di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini.
Edika atau nama sebenarnya Mohd Yusof Abd Majid, 58, berkata demikian bagi menafikan sesetengah pihak punca perpisahan dengan isterinya yang lumpuh selama 19 tahun itu ekoran keganasan rumah sepanjang 21 tahun pernikahan mereka.
“Memang saya menafikan sekeras-kerasnya sebab saya yang menjaga dia (Nor Hidayah) seperti bayi, kalau benar berlaku keganasan rumah tangga, kenapa dia tidak melaporkan isu ini dari awal? Kenapa sekarang baru timbul isu ini?
“Dalam mahkamah tadi dia bercakap disebabkan hukum kononnya saya sebut beberapa kali perkataan talak dan cerai tapi sebenarnya saya nak mendidik namun telah disalah tafsir. Saya tidak pernah berniat untuk lafaz perkataan itu,” katanya pada pemberita.

Tambah pelakon filem ‘Maria Mariana’ itu tidak pernah berputus asa dalam menyelamatkan perkahwinanya bersama Nor Hidayah, namun akur sekiranya perpisahan ini mampu menggembirakan isterinya itu.
“Dia (Nor Hidayah) telah menghidap meningitis sejak 19 tahun lalu sehingga mengalami kelumpuhan tiga suku badannya. Saya menjaga dia sejak dia terlantar di katil.
“Jadi apa pun yang berlaku, saya akan tetap cuba menjadi sahabat yang baik untuknya dan demi anak-anak. Kalaulah ditakdirkan ada lagi jodoh, kita tidak tahu. Semuanya di tangan Allah. Kita hanya berusaha,” ujarnya.

Sementara itu Nor Hidayah yang ditemui berkata, keputusan penceraian itu terpaksa dilakukan kerana ia melibatkan hukum, selain tiada niat untuk memburukkan atau mengaibkan bekas suaminya itu.
“Segala penafian daripada Edika berhubung apa yang telah bentangkan kepada mahkamah, saya ada bukti gambar, video dan rakaman suara. Saya ambil keputusan ini kerana hukum.
“Edika mengaitkan saya mengalami masalah mental dalam membuat keputusan ini. Dia telah beberapa kali melafazkan cerai terhadap saya, sudah tidak terkira. Oleh itu, keputusan ini adalah kerana hukum,” jelasnya.
Nor Hidayah telah memfailkan cerai terhadap suaminya itu pada pertengahan Februari lalu kerana sudah tiada lagi persefahaman antara mereka.
Pada 23 April lalu, Mahkamah Rendah Syariah di sini menangguhkan prosiding lafaz cerai Edika terhadap isterinya kepada 5 Mei berikutan wanita itu dalam keadaan tidak suci.
Bagaimanapun, Edika terpaksa akur dengan permintaan Nor Hidayah yang berkeras ingin berpisah dan enggan mendapatkan bantuan kaunseling serta pendamai.
Sebelum ini, pasangan terbabit menarik perhatian ramai apabila bapa dua cahaya mata itu dilapor sanggup berkorban dan setia menjaga isterinya yang lumpuh separuh badan selepas melahirkan anak kedua.
Hasil perkongsian hidup selama dua dekad pasangan ini sejak 2004, Edika dan Nor Hidayah dikurniakan dua cahaya mata iaitu Fardeen Nasrulhaq, 21, dan Fereena Nurulhaq, 20. – MalaysiaGazette
















