Shahrulufti Sharif

KUALA LUMPUR – Gesaan pihak-pihak tertentu untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai tragedi 13 Mei yang sudah lebih 50 tahun berlalu merupakan cubaan memadamkan sejarah yang memaparkan pengkhianat-pengkhianat sebenar tercetusnya insiden itu.

Ketua Penerangan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Shahrulufti Sharif mendakwa, ia merupakan niat dan gesaan supaya RCI itu ditubuhkan.

Beliau berkata, peristiwa tersebut yang merupakan salah satu bab paling gelap dalam sejarah Malaysia telah menyebabkan kehilangan nyawa yang tidak terhitung dan kerugian harta benda yang besar.

Malah, ia adalah peringatan kepada semua tentang betapa rapuhnya keharmonian tanpa menghormati tanah Melayu.

“Putra memahami bahawa terdapat kumpulan-kumpulan tertentu yang mendesak agar RCI ditubuhkan untuk menyiasat peristiwa yang telah berlaku lebih dari 50 tahun yang lalu.

“Namun, Putra harus bertanya, apa tujuan sebenar di sebalik tuntutan ini?

“Adakah ini langkah yang bijaksana untuk mengingat kembali dan mungkin tanpa sengaja membangkitkan semula api perkauman yang telah kita usahakan keras untuk padamkan?” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Shahrulufti, Putra percaya tumpuan seharusnya diberikan kepada pertanyaan lebih mendesak mengenai isu perkauman yang semakin menjadi-jadi di negara ini serta adakah ia disebabkan oleh dasar-dasar asas negara yang cuba dirobek-robek atas dasar agenda Malaysian Malaysia.

Justeru katanya, Putra menegaskan bahawa menghormati sejarah dan memori mereka yang terlibat dalam peristiwa berdarah itu adalah penting.

Ini kerana kata beliau, sejarah konflik antara China dengan Jepun dan British juga merupakan bab penting dalam sejarah global yang tidak boleh dilupakan.

Perang China-Jepun Kedua, misalnya, adalah konflik besar yang melibatkan kekejaman dan penderitaan yang besar dan ia adalah sebahagian daripada sejarah negara, jelasnya.

“Oleh itu, marilah kita bersama-sama menghargai sejarah kita, belajar daripadanya dan bergerak ke hadapan dengan semangat kesepaduan dan keharmonian.

“Hanya dengan cara ini, kita dapat memastikan bahawa tragedi masa lalu tidak akan berulang di masa depan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast