Suspek berjaya diberkas anggota MPV selepas memecut laju kereta curi lebih enam kilometer dari lokasi dia ditemui.

BUKIT MERTAJAM – Lelaki yang tersenarai dikehendaki polis diberkas selepas terlibat dalam kegiatan curi kereta dalam kejadian di Jalan Sungai Lembu, Machang Bubuk di sini, pada 15 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan sebuah kereta jenis Datsun 120Y dicuri di kawasan Megamall, Perai di sini pada jam 10.15 pagi.

Jelas beliau, susulan itu, anggota kereta peronda (MPV) berjaya mengesan kereta tersebut yang sedang dipandu suspek lewat 20-an di kawasan Taman Bandaraya, Jalan Kulim di sini.

“Ketika anggota cuba menghampiri untuk melakukan pemeriksaan, suspek bertindak memecut kereta dipandunya itu.

Beberapa rangkai kunci kereta ditemui dalam poket seluar suspek.

“Dalam usaha memberhentikan kereta serta memberkas suspek, berlaku perlanggaran antara MPV dengan kereta dipandu suspek.

“Terdapat kerosakan di bahagian hadapan MPV dan suspek berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, suspek diberkas selepas memecut kereta curi sejauh lebih enam kilometer dari lokasi dia ditemui anggota MPV.

Tambah Helmi, hasil semakan mendapati suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau dan lima rekod dadah selain merupakan individu yang dikehendaki.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan.

Terdahulu tular satu rakaman video berdurasi lebih dua minit memaparkan terdapat beberapa rangkai kunci kereta dalam poket seluar seorang lelaki yang didakwa terlibat dalam kes curi kereta. – MalaysiaGazette