KLUANG – Beberapa rumah penduduk di Taman Indah Jaya di sini dilanda banjir kilat selepas hujan lebat selama 45 minit petang tadi.
Seorang penduduk Jalan Talapia, Adnan Ibrahim, 55, berkata, banjir kilat tersebut berlaku selepas air longkang naik mendadak dan melimpah sebelum masuk rumah.
Dia mendakwa, punca utama banjir kilat apabila air longkang dari Taman Matahari yang berada di bahagian atas masuk ke dalam longkang di Taman Indah Jaya.
“Sepanjang tahun ini sudah tiga atau empat kali banjir kilat berlaku di kawasan perumahan ini. Penduduk sudah memaklumkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan namun masih belum berlaku apa-apa langkah susulan dilakukan.
“Memandangkan musim Monsun Timur Laut akan berlaku tidak lama lagi dikhuatiri perkara sama akan berlaku sekiranya tiada tindakan segera dapat dilakukan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Justeru Adnan mengharapkan sebarang usaha dapat dilakukan walaupun untuk jangka masa pendek sebelum projek naik taraf kerana jika dibiarkan ia akan mengakibatkan kesusahan kepada penduduk.
“Tiap kali banjir kilat, kena basuh rumah, mujur barang-barang eleltrik sempat dialihkan ke tempat tinggi, jika tidak pasti akan rosak,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Abd Hamid Dahlan berkata, cadangan naik taraf dan penyambungan perparitan akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada November ini.
“Perkara utama yang perlu dilakukan sekarang hanyalah untuk menyelesaikan limpahan air longkang di Jalan Jelawat, Jalan Belida dan Jalan Talapia terlebih dahulu,” katanya.- MalaysiaGazette