KUALA LUMPUR – Peguam mewakili lelaki warga Israel yang berdepan dua pertuduhan memilik 200 peluru dan memperdagangkan enam pistol memaklumkan Mahkamah Sesyen hari ini bahawa kes berkenaan mungkin dilakukan individu lain.

Semasa prosiding, peguamnya, Navinjit Singh yang mewakil Avitan Shalom, 38, berkata, kemungkinan anak guamnya tidak melakukan kesalahan tersebut kerana nama yang tertera di dalam kertas pertuduhan adalah berbeza.

“Di dalam pasport Perancis yang digunakan untuk memasuki Malaysia, nama anak guam saya ialah Shalom Avitan namun dalam kertas pertuduhan tertera namanya, Avitan Shalom.

“Saya mohon nama terbabit dipinda kerana mengikut bidang kuasa di negara ini, menggunakan kaedah nama sendiri disebut dahulu sementara nama keluarga disebut kemudian.

“Di Malaysia, tiada nama bapa diletakkan di hadapan sementara nama sendiri di belakang, jadi Avitan Shalom yang tertera dalam pertuduhan itu, boleh jadi orang lain,” katanya di hadapan Hakim, Norina Zainon Abidin.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam menjelaskan pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meminda nama pada kertas pertuduhan tersebut.

“Bagi saya tiada isu perlu diketengahkan kerana ia hanya membabitkan gaya penamaan dan diguna pakai di negara ini,” ujarnya.

Hakim kemudian mengambil maklum bantahan yang dibangkitkan dan mengarahkan kedua-dua pihak mengemukakan hujahan mengenai perkara tersebut pada akhir perbicaran kes kelak.

Pada 12 April lalu, Shalom mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memiliki ratusan pelurusan dan memperdagangkan enam pistol.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, antara jam 6.46 petang, 26 Mac hingga 6 petang pada 28 Mac lalu.

Kedua-dua pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Selain itu, Mohamad Mustafa, pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim dan Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim sementara pembelaan juga dihadiri peguam, Jeffrey Ooi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Perbicaraan warga Israel memperdagangkan 6 pistol ditangguh kepada 30 Sept