Faisal Halim. Foto FB Selangor FC.

KUALA LUMPUR – Selepas lebih dua minggu menjalani rawatan di hospital, pemain bola sepak yang disimbah asid, Faisal Halim boleh menarik nafas lega apabila  dijangka ‘dibebaskan’ dalam masa beberapa hari lagi.

Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC (SFC), Datuk Seri Shahril Mokhtar bagaimanapun menjelaskan, keputusan bila pemain Gergasi Merah itu boleh keluar dari hospital hanya akan diputuskan oleh doktor.

Faisal atau lebih mesra disapa Mickey menunjukkan perkembangan positif hasil sokongan dan doa rakyat Malaysia serta prosedur rawatan yang dijalankan, katanya.

“Sepanjang hampir tiga minggu (Faisal di hospital), empat prosedur pembedahan dilakukan dan kalau imbas kembali, pembedahan pertama dan kedua untuk bersihkan asid. Pembedahan ketiga skin allograft dan prosedur keempat membabitkan skin grafting.

“Alhamdulillah prosedur berjalan lancar dan ini rezeki Faisal juga. Selepas ini doktor pakar akan pantau Faisal, tak silap saya, esok doktor akan membuat pemantauan untuk dan dari situ kita tahu bila Faisal akan keluar dari hospital.

Faisal menjalani rawatan di hospital selepas menjadi mangsa simbah asid pada 5 Mei lalu dengan dia disahkan mengalami luka melecur tahap empat di beberapa bahagian badan.

Nasib malang yang menimpa pemain kebangsaan itu memaksanya berehat panjang dan terlepas dua baki aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bersama Harimau Malaya, bulan depan.

Sementara itu, Shahril juga memaklumkan Faisal berkemungkinan besar memerlukan tempoh tiga hingga enam bulan lagi untuk kembali beraksi di atas padang.

“Selepas ini pasukan perubatan Selangor FC diketuai Dr Muhammad Hazwan Khair akan bekerja rapat dengan hospital dan ISN (Institut Sukan Negara) untuk program pemulihan Faisal.

“Saya difahamkan kemungkian besar tiga hingga enam bulan (lagi untuk Faisal kembali beraksi). Ini apa yang doktor katakan kepada saya, harap lagi cepat lagi bagus, itu doa saya,” katanya. – MalaysiaGazette