EmpowerFest 2024 berlangsung di Avenue K, Kuala Lumpur.

KUALA – Karnival EmpowerFest 2024 berjaya menyediakan platform unik untuk mempamerkan kisah inspirasi, pencapaian dan cabaran daripada individu neurodivergent yang berdepan dunia neurodiversiti.

Bertemakan tema Through Our Heart, karnival anjuran Aosis Place itu menekankan setiap individu dan pihak berkepentingan masyarakat yang unik mempunyai potensi untuk berjaya dan membuat sumbangan impak sosial bermakna.

Pengasas Oasis Place, Dr. Choy Sook Kuen berkata, melalui acara tiga hari yang penuh manfaat itu, pihaknya berhasrat meraikan kekuatan individu neurodivergent dan rakan penjagaan mereka yang merupakan inisiatif luar biasa bag menghimpunkan keluarga, profesional dan masyarakat.

“EmpowerFest 2024 mahu dan menyediakan sumber yang berharga untuk semua bagi mendidik, mengemudi dan mencungkil bakat tersembunyi individu, keluarga dan masyarakat yang menyokong dunia neurodiversiti.

“Ia bukan sekadar menyediakan platform untuk belajar dan berhubung tetapi juga tentang mengubah persepsi masyarakat terhadap kepelbagaian saraf.

“Menerusi sesi forum, pembentangan dan ahli panel yangt interaktif, karnival ini menawarkan peluang kepada orang ramai untuk menyelami pengalaman mereka dengan pakar dan perkongsian cerita pengalaman hidup komuniti pelbagai neurotaip,” katanya.

EmpowerFest 2024 menghimpunkan keluarga, profesional dan masyarakat yang berdepan dunia neurodiversiti.

EmpowerFest 2024 dianjurkan Aosis Place dengan kerjasama Kumpulan Masteron.

Neurodiversiti atau neurokepelbagaian merujuk kepada pengiktirafan dan perayaan perkembangan dan fungsi neurologi yang pelbagai.

Individu yang mengalami perkembangan otak neurodivergent termasuk seperti autisme, ADHD, disleksia, sindrom Tourette dan variasi neurologi lain yang secara keseluruhan dipanggil neurodivergent.

Konsep itu didasarkan pada idea bahawa perbezaan neurologi adalah variasi semula jadi manusia iaitu sama dengan etnik dan personaliti.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Masteron, Datuk Choy Wai Ceong berkata, penglibatan syarikatnya mencerminkan komitmen untuk mempromosikan penerimaan dan projek impak sosial dalam komuniti.

“Acara seperti ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran tetapi juga memberi kuasa kepada individu dan keluarga untuk dilengkapi dengan kesedaran, penerimaan dan penghayatan terhadap kehidupan yang berbeza,” katanya. – MalaysiaGazette