PUTRAJAYA – Serangan bersenjata yang mengorbankan beberapa anggota polis baru-baru ini sedikit banyak telah menimbulkan kegusaran awam.
Apatah lagi berlaku secara bertali arus di beberapa lokasi seluruh negara.
Tinjauan MalaysiaGazette di sini hari ini mendapati walaupun insiden itu menimbulkan kebimbangan namun orang ramai masih yakin dan menaruh harapan kepada keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjaga keamanan negara.
Menurut Mohd Zamir Zaini, 42, dari Pasir Gudang, Johor, meskipun insiden berdarah itu mengejutkan negara namun beliau masih yakin untuk berada membawa keluarga ke tempat tarikan pelancong termasuk Dataran Putra di sini.
“Saya masih lagi menaruh kepercayaan kepada kecekapan dan kewibawaan pihak polis dalam menangani masalah ekstremisme di negara kita.
“Setakat ini juga saya rasa selamat untuk bawa keluarga dan menjalankan kehidupan seperti biasa, keadaan masih terkawal bagi saya.
“Tiada perubahan ketara, masih lagi nampak normal setakat ini. Alhamdulillah. Saya melihat kes di Balai Polis Ulu Tiram sebagai satu kes terpencil,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Bagi Muhamad Naim Fauzi, 29, dari Puchong pula menganggap insiden berdarah itu tidak menghalangnya beriadah bersama ahli keluarga di tempat awam meskipun menyedari berdepan risiko tidak dijangka.
“Sebenarnya risau juga, tapi alhamdulillah dekat Putrajaya tak ada apa-apa insiden lagi tapi kita tak minta perkara itu berlaku tapi takut juga nak bawa keluarga keluar.
“Keadaan masih okay, cuma polis masih perlukan ketatkan keselamatan. Kita masih harapkan polis menjaga keselamatan, kita tak boleh pukul rata semua sebab masih ada anggota yang menjalankan tugas dengan baik.
“Kita bukan macam di luar negara yang membenarkan rakyatnya memiliki senjata sendiri, itu pun masalah juga, insiden itu hanya satu ujian kecil buat kita,” katanya lagi.
Sementara itu, bagi seorang penjawat awam, Mohammad Khusyamil Akmaar Mohammad Azman, 36, orang ramai perlu bersiap siaga dengan seni bela diri ketika berada di luar dan tempat awam.
“Kita perlu berhati-hati, kena siapsiaga dalam diri kita dengan seni bela untuk anak-anak, paling tidak boleh jaga diri dan keluarga sendiri,” katanya.
Menurutnya, setiap orang kena lebih berhati-hati kerana sukar untuk menjangka risiko luar jangka termasuk musuh dalam selimut.
“Kita perlu berhati-hati, sebagai contoh kes Faisal Halim pun dia pun tak tahu dia ada musuh, tahu-tahu kena simbah asid.
“Macam itu juga kehidupan kita, kita berkawan dengan semua orang, kita tak tahu hati orang itu macam mana dan kita pun tiada masalah dengan orang.
“Tapi bila ada yang sakit mata atau panas mata dengan kita, benda-benda macam itu mungkin berlaku,” katanya lagi. – MalaysiaGazette