Foto Instagram Wani Kayrie.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Wani Kayrie berjaya mengenggam segulung ijazah pada Majlis Konvokesyen Management & Science University (MSU) di mana segala penat lelahnya dalam membahagikan masa bekerja dan belajar akhirnya terbayar.

Kata Wani atau nama lengkapnya Syazwani Abdullah, 24, dia juga mendedikasikan segulung ijazah itu bagi membanggakan ibunya, Rukiah yang menjadi sistem sokongan dari awal pengajian.

“Dulu saya datang dari keluarga yang tidak senang dan tak berkemampuan untuk sambung pengajian ke peringkat tinggi, hanya setakat peringkat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) kerana memenuhi tanggungjawab terhadap keluarga.

“Sebab itu, saya pasang niat untuk belajar lebih tinggi kerana mahu melihat mama pakai jubah ijazah ini. Sebak tetapi seronok dapat tengok orang kita sayang turut gembira dengan kejayaan kita.

“Kalau tidak kerana dorongan mama, saya tak dapat merasa mengenggam skrol ijazah ini,” tulis di Instagram miliknya.

Foto Instagram Wani Kayrie.

Selepas menerima ijazah, bekas peserta Big Stage pertama itu lebih menyedari akan kepentingan pelajaran dalam kehidupan.

“Sekarang baru saya faham kenapa pentingnya untuk kita menuntut ilmu. Mungkin bagi sesetengah orang, benda ini hanya setakat belajar tetapi sebenarnya perkara ini mengajar kita melihat dunia dengan lebih luas dan pelbagai perspektif berbeza untuk digunakan pada masa akan datang,” ujarnya.

Menerusi hantaran tersebut, Wani memuat naik foto ibunya memakai jubah graduasi dan menyambut kegembiraan bersama.

Sabtu lalu, Wani memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) cemerlang bagi Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Perdagangan. – MalaysiaGazette