KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Bangunan Perbendaharaan bersama-sama dokumen yang paling dinanti-nanti hari ini iaitu dokumen Belanjawan 2025 Malaysia Madani untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.
Menggayakan sepasang baju Melayu satin berwarna kelabu cair, Anwar mencuri perhatian dengan beg fail berwarna hitam dan bermotifkan tenunan kerawang emas digunakan untuk membawa dokumen tersebut.
Turut mengiringi beliau adalah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying; serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
“Tenunan songket membawa nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung dan ia bersesuaian dengan peri pentingnya dokumen Belanjawan 2025 ini. Selain mengangkat martabat si pemakainya, ia melambangkan kedudukan tinggi si pemakainya.
“Selain tenunan songket di bahagian luar, beg ini turut menerapkan kombinasi saree bagi lapisan dalam,” menurut MOF.
Ini merupakan Belanjawan kali ketiga yang akan beliau bentangkan selaku Menteri Kewangan.
Dalam catatan di laman media sosialnya, Perdana Menteri berkata, Belanjawan MADANI Ketiga 2025 pastinya akan memberi manfaat buat rakyat terbanyak selain memperkukuh ekonomi dan pembangunan negara, Insya-Allah. – MalaysiaGazette