Hamzah menunjukkan syabu yang dibungkus dalam plastik berwarna hitam disembunyikan dalam lipatan baju bagi mengaburi pihak berkuasa.

GEORGE TOWN – Dua ‘keldai dadah’ lelaki warga Indonesia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada Isnin lalu, selepas didapati cuba menyeludup keluar syabu dan pil ekstasi ke negara asal.

Mereka yang masing-masing berusia 25 dan 27 tahun itu ditahan pada jam 5.20 petang sebelum pemeriksaan membawa kepada penemuan dadah yang dibawa melalui bagasi bimbit.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, penyeludupan dua suspek itu terbongkar selepas polis bantuan LTAPP melihat mereka dalam keadaan mencurigakan sebelum memaklumkan perkara itu kepada polis.

Hamzah menunjukkan bagasi bimbit yang dibawa keldai dadah berkenaan.

Jelasnya, hasil pemeriksaan menemui 20 bungkusan plastik berisi syabu seberat dua kilogram dengan anggaran nilai RM64,000 yang disembunyikan dalam lipatan baju serta 14 biji pil ekstasi.

“Semakan kita mendapati ini merupakan kali pertama kedua-dua suspek menyeludup keluar dadah dari sini (LTAPP).

“Bagaimanapun, perjalanan mereka ke negeri ini adalah kali kedua dan kali pertama hanya datang bagi memantau tahap keselamatan di LTAPP,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

Syabu seberat dua kilogram bernilai RM64,000 diseludup keluar untuk pasaran Indonesia.

Mengulas lanjut Hamzah berkata, suspek dipercayai menyeludup dadah dari negeri ini untuk dibawa pulang ke negara asal untuk tujuan pengedaran.

“Ketika ini kita sedang menjalankan siasatan sejauh mana penglibatan mereka termasuk jumlah upah diterima sebagai keldai dadah.

“Dua suspek itu direman sehingga 27 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette