GEORGE TOWN – Kematian penuntut wanita sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang terjatuh dari tingkat 21 sebuah hotel di Tanjung Bungah di sini semalam kekal diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, ia berdasarkan hasil bedah siasat yang dilakukan ke atas mangsa berusia 24 tahun itu di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini hari ini.
“Hasil bedah siasat mendapati pelbagai kecederaan dialami mangsa adalah konsisten akibat jatuh dari tempat yang tinggi.
“Selain itu, kita juga tidak menemui sebarang perbuatan jenayah berhubung insiden berkenaan dan kes itu kekal diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, mayat mangsa dikatakan telah dituntut ahli keluarganya.
Difahamkan, mangsa tidak mempunyai rekod sakit mental namun sejak kebelakangan ini dia sering menceritakan kisah lama dirinya kepada rakan lelaki yang bersamanya ke hotel tersebut.
ARTIKEL BERKIATAN:
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan penuntut sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di ibu negara maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 21 sebuah hotel di Tanjung Bungah di sini semalam.
Mayat wanita itu ditemui orang ramai dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah pukul 3.35 petang sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak polis.
Mangsa pergi ke hotel berkenaan bersama rakan lelakinya yang juga berusia 24 tahun dan kejadian berlaku tidak lama selepas mereka mendaftar masuk ke bilik. – MalaysiaGazette