Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

KUALA LUMPUR – Polis mengesan pihak yang bertanggungjawab menyebarkan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) membabitkan kes pemain kebangsaan Harimau Malaya, Muhammad Faisal Abdul Halim disimbah asid pada 5 Mei lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya memandang serius kebocoran video tersebut yang merupakan bahan bukti kes yang masih dalam siasatan.

Sebelum itu satu video berdurasi 56 saat tersebar hari ini di laman sosial X @onefootballm dan video ini merupakan bahan bukti yang masih dalam siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Pendakwaan/Undang-Undang (D5) Jabatan Siastan Jenayah Bukit Aman.

“Siasatan telah dimulakan bagi mengesan mana-mana pihak yang mendedahkan maklumat butiran penyiasatan polis yang sedang dijalankan dan juga individu yang telah menyebarkan video rakaman CCTV tersebut di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan iaitu pendedahan maklumat dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Mereka yang terlibat dalam menyebarkan video ini jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Subseksyen (1) boleh dihukum dengan denda yang tidak melebihi RM1 juta atau penjara bagi tempoh yang boleh sampai satu tahun atau dengan kedua-duanya.

“Manakala, subseksyen dua memperuntukkan barang siapa yang mempunyai apa-apa maklumat atau perkara yang pada pengetahuannya telah didedahkan dengan melanggari subseksyen (1) yang mendedahkan maklumat atau perkara itu kepada mana-mana orang lain hendaklah dihukum dengan denda yang tidak melebihi RM1 juta atau dengan penjara maksimum setahun atau dengan kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hussein, bagi kesalahan di Bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian boleh dijatuhkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua²nya.

Beliau  dalam masa sama menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan video tersebut dan harus menghormati dan menjaga sensitiviti mangsa dan keluarga.

“Polis memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang sengaja menyebarkan video sekali gus mengganggu siasatan kami,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast