Kompleks Mahkamah Melaka

MELAKA – Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan kekerasan dengan niat mencabul kehormatan cucu saudaranya, tahun lalu.

Tertuduh lelaki berusia 62 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang berusia 19 tahun ketika kejadian dengan niat hendak mencabul kehormatannya.

Perbuatan itu berlaku di dalam bilik sebuah hotel di Taman Kota Laksamana Seksyen 3 dalam daerah Melaka Tengah pada kira-kira pukul 8 malam 28 Januari lalu.

Sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin mencadangkan jaminan RM10,000 beserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan tiada pendapatan tetap kerana tidak bekerja.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan yang dipohon pendakwaan.

Kes akan disebut semula 11 Julai depan untuk serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast