Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Dr Muralitharan Paramasua (tengah) menunjukkan merampasan kanta lekap yang tidak berdaftar anggaran RM700,000 ribu di Prima 9, Cyberjaya. Foto SYADILA AMARI, 24 MEI 2024.

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas 143,286 kanta lekap dalam serbuan yang dilakukan Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di sebuah pusat membeli belah pemborong fesyen di Jalan Gelugor Pudu, Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

Ketua Eksekutif MDA Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Muralitharan Paramasua berkata, serbuan itu dilakukan susulan aduan yang diterima daripada orang awam mengenai penjualan kanta lekap secara tidak sah.

“Hasil serbuan yang dijalankan kami ke atas premis itu telah menemukan bukti berlakunya pengedaran kanta lekap pelbagai jenama yang tidak berdaftar oleh syarikat yang tidak mempunyai lesen perniagaan (Estabilismen Lesen MDA) yang sah.

“Pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan dan sitaan sebanyak 143,286 unit kanta lekap tanpa label serta pelbagai jenama, 276 keping pelekat label berjenama serta 25 dokumen yang berkaitan bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Tambah Muralitharan lagi, nilai keseluruhan rampasan barang tersebut itu dalam serbuan berkenaan adalah dianggarkan bernilai RM700,000.

Katanya, premis berkenaan pernah diserbu pada November 2023 dalam serbuan yang dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kos Sara Hidup atas kesalahan sama dan lesen pendaftaran perniagaan syarikat terbabit telah dibatalkan.

“Namun, menerusi aduan awam sekali lagi kita mendapati premis berkenaan kebal dan meneruskan operasinya secara haram menjual produk kanta lekap itu walaupun lesennya dibatalkan.

Pihak Penguatkuasa MDA berjaya merampas kanta lekap yang tidak berdaftar anggaran RM700,000 ribu ketika Sidang Media di Prima 9, Cyberjaya. Foto SYADILA AMARI, 24 MEI 2024.

Menurut Muralitharan, siasatan pihaknya mendapati kebanyakan produk kanta lekap itu diimport dari Korea Selatan dan dibawa masuk ke Malaysia tanpa pendaftaran yang sah daripada MDA.

Jelasnya, MDA mendapati penjualan secara fizikal di syarikat tersebut mempamerkan produk berdaftar tetapi pada masa sama ia menjual kanta lekap tidak berdaftar.

Ujarnya, syarikat tersebut juga dikesan menjual kanta lekap secara dalam talian dan MDA kini giat menjejaki ejen-ejen jualan untuk tindakan lanjut.

Muralitharan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 5 dan Seksyen 15 serta Seksyen 25 Akta Peranti Perubatan (Akta 737) atas pelbagai kesalahan iaitu masih meletakkan peranti perubatan dalam pasaran walaupun lesen dibatalkan atas kesalahan sama November lalu.

Akta tersebut memperuntukan denda maksimum sebanyak RM200,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Jelas beliau, memandangkan premis berkenaan mengulangi kesalahan yang dilakukan, MDA sedang dalam proses meminda  akta berkaitan untuk menaikkan tempoh hukuman penjara dan denda.

Sementara itu, Muralitharan meminta mereka yang telah membeli dan menggunakan produk tidak berdaftar itu membuat aduan kepada MDA untuk membolehkan tindakan diambil.

Katanya, penggunaan produk tidak berdaftar boleh mendatangkan kesan seperti mata bengkak selain boleh mengakibatkan kecederaan kornea. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast