Mohd Yusri Hassan Basri

GERIK – Seorang anak tergamak memukul menggunakan kerusi plastik terhadap bapanya dalam satu pertengkaran di sebuah rumah di, Jalan Kuala Rui, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam kejadian sekitar jam 8 malam itu, lelaki berusia 74 tahun mengalami kecederaan dan menerima empat jahitan pada bahagian muka.

Katanya, hasil siasatan mendapati, kejadian berlaku selepas suspek berusia 35 tahun itu meminta wang daripada bapanya, selain menuduh warga emas itu mengambil wang tersebut

“Dalam kejadian, seorang anak mangsa yang lain dan anak saudaranya telah cuba meleraikan perbuatan suspek terhadap bapanya.

“Namun, akibat daripada pukulan dengan kerusi tersebut, ia telah menyebabkan mangsa mengalami luka pada bahagian kening sebelah kanan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Mohd Yusri memberitahu, warga emas itu telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Gerik bagi menerima rawatan lanjut, dan telah dibenarkan pulang selepas itu.

“Suspek telah ditahan dan direman selama empat hari bermula Jumaat di bawah seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut dilakukan ke atas suspek dan kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” tambahnya lagi. – MalaysiaGazette