Foto: ATM

ALOR SETAR- Jenazah anggota Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) Sarjan Faridah Abd Rahman, 39, yang meninggal dunia, Sabtu lalu selamat dikebumikan hari ini.

Terdahulu, jenazah Allahyarham yang dibawa dari Pangkalan Udara Subang tiba di Kolej Tentera Udara (KTU) Alor Setar, di Kepala Batas, di sini pada pukul 8.10 pagi sebelum dibawa ke Masjid Al Anwar Kampung Tengah Tualang, Pokok Sena, dekat sini pada pukul 9 pagi.

Jenazah Allahyarham kemudiannya diberi penghormatan terakhir oleh ahli keluarga sebelum solat jenazah yang diimamkan Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Pengurusan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Brigedier Jeneral Mohd Hamzah Adam disertai lebih 300 jemaah.

Jenazah Allahyarham seterusnya dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Anwar, Kampung Tengah dengan penuh istiadat ketenteraan dan dikebumikan berhampiran pusara adiknya yang meninggal dunia pada 2013 akibat penyakit asma.

Lebih 500 orang yang terdiri dari ahli keluarga, kenalan dan penduduk kampung turut berada di tanah perkuburan untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham dan majlis pengebumian selesai sepenuhnya pada pukul 10.20 pagi.

Suasana bertukar pilu apabila empat anak Allahyarham iaitu Nurul Syifa Nor Azmi, 13; Muhammad Afnan, 10; Nurul Jannah, 7; (syndrome down) dan Ainul Mardiah, 4, meratapi pemergian ibu mereka.

Pada 19 Mei, Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan memaklumkan Faridah, meninggal dunia pada 2.25 pagi waktu Lubnan atau 7.25 pagi waktu Malaysia.

Menurut kenyataan itu, Allahyarham yang bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam MALBATT 850-11 di Kem Marakah, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan MALBATT 850-11, apabila rebah selepas turun dari bas di Kem Marakah, sejurus tiba di Lubnan daripada bercuti selama sebulan di Malaysia.

Dalam pada itu, Markas ATM dalam satu kenyataan mengesahkan Allahyarham meninggal dunia di Lubnan akibat serangan jantung, berasaskan keputusan bedah siasat yang dijalankan pihak Hospital Hammoud, Saida, Lubnan pada 2.54 petang waktu Lubnan (7.45 malam waktu Malaysia), 19 Mei.

“Keputusan awal bedah siasat telah diperoleh pada 20 Mei 2024 dan hasil bedah siasat tersebut mengesahkan Allahyarham meninggal dunia akibat cardiopulmonary arrest due to myocardial ischemia/thrombosis atau serangan sakit jantung,” menurut kenyataan itu. – Bernama