*** Local Caption ***

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bakal menyaksikan beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai antara syarikat Malaysia dengan China.

Beliau yang tiba di Shanghai berkata, memorandum yang  dimeterai kedua-dua negara  khusus berkaitan dengan bidang teknologi tinggi dan pendidikan.

“Semoga ketibaan saya di sini dapat memperkukuh lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan China sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kita,” katanya.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah kini dalam lawatan rasmi ke China bermula 22 Mei lalu hingga 1 Jun ini dan Shanghai merupakan destinasi ketiga.

Lawatan tersebut dijangka memberi impak positif kepada landskap bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia.

Hubungan diplomatik Malaysia-China kini mencecah ke usia 50 tahun.

Hubungan kedua-dua negara kemudian dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada 2013, yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

China muncul rakan perdagangan terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009. Jumlah perdagangan bersama China mencecah nilai RM450.84 bilion pada tahun lalu, menyumbang 17.1 peratus daripada perdagangan global Malaysia. – MalaysiaGazette