Monday, June 17, 2024
Home Ekonomi Johari ketuai delegasi Malaysia ke Mesir, Turkiye

Johari ketuai delegasi Malaysia ke Mesir, Turkiye

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bercakap pada media sebelum bermula Mesyuarat Majlis Tertinggi Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 03 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesir dan Turkiye untuk lawatan kerja bermula hingga 1 Jun ini.

Beliau juga dijadual merasmikan Forum Minyak Sawit Malaysia Mesir 2024 di Kaherah pada 28 Mei.

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam satu kenyataan menjelaskan, forum oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) itu bertujuan meneroka potensi pertumbuhan untuk minyak sawit di rantau Afrika Utara.

Beliau dijangka menekankan peningkatan permintaan global untuk minyak masak dan derivatifnya serta komitmen Malaysia terhadap pengeluaran minyak sawit yang mampan pada forum itu.

Selain itu, Johari akan bertemu Menteri Perdagangan dan Perindustrian serta Menteri Bekalan dan Perdagangan Domestik Mesir untuk memperkukuh kerjasama dua hala serta kalangan ketua perniagaan dalam industri minyak sawit.

MPOF 2024 akan disusuli oleh lawatan ke Turkiye, dengan Johari akan bertemu Menteri Perdagangan negara itu pada 31 Mei ini untuk mengenal pasti peluang perniagaan baharu dalam sektor minyak sawit antara Malaysia dan Turkiye.

Turkiye ialah destinasi penting untuk eksport minyak sawit Malaysia, menjadikan pertemuan ini amat penting bagi Malaysia, menurut KPK. – MalaysiaGazette