Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan 11 pemenang di Anugerah Pengurus Dana Luaran KWSP 2023 sebagai pengiktirafan prestasi cemerlang barisan pengurus dana luaran mengikut mandat masing-masing yang dinilai berdasarkan beberapa set metrik kuantitatif.

Sehingga 31 Disember 2023, sebanyak RM189 bilion telah disalurkan kepada pengurus dana luaran untuk dilaburkan dalam ekuiti dan instrumen pendapatan tetap, yang mewakili 17 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP.

Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, barisan pengurus dana luaran KWSP telah menghasilkan pulangan yang baik tahun lepas dengan mencatatkan jumlah pendapatan tertinggi, lebih kurang 22 peratus daripada keseluruhan pendapatan KWSP walaupun berhadapan dengan pasaran yang tidak menentu dan mencabar.

“Jumlah dana yang diurus oleh pengurus ekuiti dan pendapatan tetap luaran telah meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM189 bilion berbanding lima tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.

Bagi tahun kewangan berakhir 2023, KWSP telah mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 5.50 peratus dengan agihan RM50.33 bilion untuk Simpanan Konvensional dan 5.40 peratus dengan agihan RM7.48 bilion untuk Simpanan Shariah.

Secara kumulatif, jumlah agihan untuk 2023 ialah RM57.81 bilion.

Pencapaian ini, tambah Tan Sri Ahmad Badri, turut disumbang oleh pendiversifikasian yang dilaksanakan pengurus dana di dalam kelas aset, pasaran dan mata wang berbeza yang membantu KWSP untuk kekal berdaya tahan terhadap turun naik pasaran serta melindungi pulangan pelaburannya.

Sehingga Disember 2023, saiz aset pelaburan KWSP adalah berjumlah RM1.14 trilion, sekaligus meletakkan KWSP sebagai salah satu daripada 10 dana persaraan terbesar di dunia. Pada tahun yang mendatang, KWSP akan terus meneroka strategi baharu dan bekerjasama dengan pengurus dana domestik dan global yang terkemuka untuk menghasilkan pulangan yang optimum.

“Selain daripada memaksimumkan pulangan risiko terlaras peringkat portfolionya, KWSP juga berusaha untuk memperkasa semua syarikat penerima pelaburan dan pengurus dana luaran untuk memberikan impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar.

“Dedikasi mereka untuk menghasilkan nilai yang berkekalan telah menyumbang kepada kejayaan KWSP dalam memberikan pulangan yang mampan di samping melindungi kesejahteraan persaraan ahli,” tambahnya. – MalaysiaGazette

NO. KATEGORI PEMENANG
1. Best Domestic Equity Fund Manager (Shariah) 2023 AIIMAN Asset Management Sdn Bhd
2. Best Domestic Equity Fund Manager (Conventional) 2023 Pheim Asset Management Sdn Bhd
3. Best Global Bond Fund Manager 2023 BNP Paribas Asset Management Malaysia Sdn Bhd
4. Best International Equity Fund Manager for MSCI EM Latin America 2023 Principal Asset Management Berhad
5. Best International Equity Fund Manager for Factor Investing 2023 Robeco Institutional Asset Management
6. Best International Equity Fund Manager for MSCI Ethical Asia (ex Japan ex Malaysia) 2023 abrdn Malaysia Sdn Bhd
7. Best International Equity Fund Manager for FTSE Shariah World Developed 2023 Amundi Aalam Sdn Bhd
8. Best International Equity Fund Manager for FTSE Ethical World Developed 2023 Amundi Malaysia Sdn Bhd
9. Best EPF Domestic Equity Fund Manager 2023 AHAM Capital Asset Management
10. Best EPF Global Equity Fund Manager 2023 Amundi
11. Best EPF External Fund Manager 2023 Amundi