Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar ibrahim melihat tayangan montaj ketika hadir ke Pameran Era Pascanormal di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 26 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak perlu berunding dengan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azmi Sharom untuk melantik pengerusi dan ahli agensi itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan membuat pelantikan itu mengikut proses sedia ada termasuk melalui Istana Negara.

“Saya faham sebab kita tak berunding dengan Timbalan Pengerusi (SPR) siapa kita nak lantik. Kita perlu melalui proses itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu beliau melakukan lawatan ke Pameran Era Pascanormal Madani do Berjaya Times Square.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan dan Pengasas Berjaya Corporation Bhd (BCorp) Tan Sri Vincent Tan.

Terdahulu, media melaporkan Azmi menggesa ketelusan dalam pelantikan ahli di agensi berkenaan.

Azmi mengakui pelantikan ahli SPR pada masa ini termasuk dirinya sendiri “diselindungi kerahsiaan dan kekaburan”.

Pada 9 Mei lalu, badan pemantau pilihan raya Bersih menuduh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mungkir janji dua kali sejak pilihan raya umum kerana melantik dua ahli utama SPR, iaitu Sapdin Ibrahim dan Lee Bee Phang tanpa proses terbuka dan telus.

Ketika ditanya tentang siapa pengganti kepada Tan Sri Abdul Ghani Salleh yang bersara wajib 9 Mei lalu, Perdana Menteri berkata, perkara itu dalam proses mendapat perkenan Istana Negara.

“Sudah (urusan lantik Pengerusi SPR), kita dalam proses dia, akhirnya dia harus dapat perkenan daripada Yang di-Pertua Agong,” katanya lagi. – MalaysiaGazette