Mereka yang ditahan dalam serbuan di pusat hiburan di sekitar Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur, pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Polis telah menahan 13 wanita warga berusia 19 hingga 45 tahun disyaki menyalahgunakan dokumen perjalanan untuk bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan di pusat hiburan sekitar Jalan Raja Chulan awal pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, pihaknya telah bertindak atas maklumat risikan kegiatan aktiviti hiburan.

“Hasil serbuan yang dijalankan pada lebih kurang 1.30 hingga 2.15 pagi itu, seramai 87 orang telah diperiksa terdiri daripada empat pengurus premis, 37 pengunjung, 33 pekerja dan 13 wanita warga asing.

“Kesemua wanita warga asing ditahan merupakan warga tiga buah negara di Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan.

Polis turut merampas peralatan muzik, iaitu tiga monitor, dua microphone receiver, empat mikrofon, satu audio mixer, dua digital audio, tiga pembesar suara dan empat amplifier.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959?63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kami menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil memberikan kerjasama berkenaan apa-apa aktiviti yang menyalahi undang-undang dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,”  tambahnya. – MalaysiaGazette